BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pelaksanaan SSPA Akan Tarik Minat OKU Sertai Perkhidmatan Awam

12/11/2024 01:25 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan berkuat kuasa Disember ini diyakini mampu menarik minat lebih ramai golongan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk menyertai perkhidmatan awam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata hal ini kerana SSPA menawarkan struktur gaji dan elaun yang lebih kompetitif, selain peluang kenaikan pangkat serta pembangunan kerjaya yang lebih baik dalam skim itu.

"Malah, semua kelebihan urusan pengambilan pegawai OKU di bawah Skim Saraan Malaysia (SSM) akan dikekalkan dalam SSPA ini," katanya menjawab soalan tambahan V. Sivakumar (PH-Batu Gajah) berhubung bagaimana pelaksanaan SSPA dapat mengukuhkan sasaran dasar satu peratus penjawat awam kategori OKU dalam perkhidmatan awam pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) sama ada kerajaan bersedia meningkatkan peratusan dasar berkenaan sekiranya ia tercapai pada masa depan, Dr Zaliha berkata kerajaan bersikap terbuka dengan perkara itu.

"Namun, kemungkinan kita kena tengok balik data sedia ada daripada semua agensi untuk memastikan berapa peratusan mereka (golongan OKU) yang ada dalam perkhidmatan kerajaan. Saya yakin apabila capai sasaran, tiada halangan untuk kita teruskan atau tingkatkan dua atau tiga peratus lagi," katanya.

Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata setakat 30 Sept lepas, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah menerima 4,805 permohonan daripada calon OKU berbanding 1.13 juta keseluruhan permohonan.

Beliau berkata 44 OKU telah dilantik berbanding jumlah keseluruhan pelantikan sebanyak 13,491 orang.

Daripada jumlah dilantik itu, mereka terdiri daripada 39 OKU kurang upaya fizikal, kurang upaya pendengaran (tiga) serta masing-masing seorang kategori kurang upaya mental dan kurang upaya penglihatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan