BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pemain Industri Pertahanan Negara Digesa Sediakan Peluang Pekerjaan Kepada Veteran ATM - Adly Zahari

12/11/2024 03:20 PM

SUNGAI BULOH, 12 Nov (Bernama) -- Kementerian Pertahanan menggesa pemain industri pertahanan negara, khususnya yang mempunyai obligasi kontrak dengan kerajaan, untuk menyediakan peluang kerjaya kedua kepada bakal pesara veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata pendekatan ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada industri pertahanan tempatan, tetapi juga memberi manfaat kepada sosioekonomi veteran tentera negara.

"Kami turut menggesa pemain industri pertahanan khususnya yang mempunyai obligasi kontrak dengan kerajaan untuk menyediakan peluang kerjaya kedua kepada bakal pesara veteran ATM.

"Pendekatan begini bukan sahaja dapat memberi nilai tambah kepada ekosistem industri pertahanan negara dengan memanfaatkan kepakaran veteran ATM tetapi membantu melestarikan sosioekonomi mereka," katanya pada Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia, RPEL di Kompleks Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) di sini hari ini.

Menurut Adly, PERHEBAT akan terus memberi keutamaan terhadap inisiatif pemerkasaan sosioekonomi veteran tentera yang dilaksanakannya pada ketika ini.

Program anjuran PERHEBAT seperti Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL) katanya, telah memberi nilai tambah serta peluang kepada anggota tentera dan veteran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi seterusnya meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam sektor pekerjaan.

"Sehingga kini, sejumlah 5,202 anggota dan veteran ATM berjaya ditauliahkan Diploma Kemahiran Malaysia menerusi inisiatif RPEL," katanya.

Sebagai 'enabler' kerjaya kedua veteran ATM, PERHEBAT katanya telah melaksanakan inisiatif penempatan pekerjaan dan program latihan menerusi kolaborasi bersama agensi awam dan swasta.

Timbalan Menteri Pertahanan itu turut menyaksikan pemeteraian enam memorandum persefahaman(MoU) antara PERHEBAT dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Open University Malaysia (OUM), Jelita TVET Women Academy Sdn Bhd, University Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Invest Selangor Bhd, Majlis Ekuin Malaysia dan Richiamo Coffee Sdn Bhd.

Turut hadir Pengerusi PERHEBAT Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera Tan Sri  Azizan Ariffin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan