BELANJAWAN 2025 > BERITA

Unit MRO Capital A, ADE Terima Pensijilan AMO Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Vietnam

12/11/2024 08:40 PM

PUTRAJAYA, 12 Nov (Bernama) -- Unit penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) Capital A, Asia Digital Engineering (ADE) sedang mengembangkan operasi ke Vietnam selepas menerima pensijilan kelulusan organisasi penyelenggaraan (AMO) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Vietnam.

ADE dalam satu kenyataan hari ini berkata pensijilan ini merupakan satu pencapaian penting yang akan mengukuhkan keupayaan syarikat untuk terus menyokong syarikat penerbangan dengan penyelesaian MRO bertaraf dunia di seluruh ASEAN.

Syarikat itu berkata, pihaknya kini memegang pensijilan AMO di lapan negara selain Vietnam iaitu Malaysia, Indonesia, Kemboja, Filipina, Singapura, Nepal, Thailand dan Myanmar.

"Pensijilan ini melengkapkan AMO Bahagian 145 Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) ADE yang diperoleh pada tahun lepas selain menetapkan piawaian tertinggi dalam penyelenggaraan penerbangan.

"Ini menegaskan komitmen ADE terhadap tahap keselamatan dan kecemerlangan operasi yang tertinggi," katanya.

ADE juga berkata ia kini sedang memperluaskan perkhidmatannya kepada banyak syarikat penerbangan pihak ketiga dengan memanfaatkan pengalaman 20 tahun bersama AirAsia.

Perkhidmatannya merangkumi sokongan komponen, penyelenggaraan talian dan penyelenggaraan asas untuk pelbagai model pesawat termasuk keluarga Airbus A320 dan A330 serta keluarga Boeing 737.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif ADE Mahesh Kumar berkata kelulusan daripada Vietnam adalah langkah penting dalam perjalanan syarikat untuk menjadi rakan MRO utama bagi syarikat penerbangan.

"Daripada memaksimumkan kebolehpercayaan pesawat kepada mengurangkan masa untuk memenuhi permintaan (turnaround times), kami menyasarkan untuk menyokong rakan kongsi syarikat penerbangan dalam memenuhi matlamat operasi mereka dan meningkatkan prestasi kapal terbang," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan