KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Dapatan audit dalaman dan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dalam FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), akan digunakan untuk menambah baik tatakelola Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan akan terus memberikan perhatian yang ketat serta memperkukuh tatakelola dan kawalan tadbir urus penggunaan dana awam.
“Memandangkan SPRM masih menyiasat kes ini dan audit dalaman di Khazanah masih berjalan, Khazanah perlu diberi ruang untuk proses siasatan ini diselesaikan. Segala dapatan yang dimuktamadkan nanti akan digunakan untuk menambah baik tatakelola Khazanah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan, di Dewan Rakyat hari ini.
Amir Hamzah berkata pelaburan Khazanah dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam FashionValet pada 2018 yang ketika itu merupakan platform e-dagang fesyen berpotensi, dibuat sejajar dengan keutamaan kerajaan dalam sektor teknologi.
Beliau berkata Khazanah dan PNB memahami sifat pelaburan pemula seperti itu mempunyai risiko lebih tinggi berbanding pelaburan biasa, tetapi ia selaras dengan mandat kedua-dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkenaan untuk menyokong pelaburan strategik.
“Adalah penting untuk melihat aspek pulangan pelaburan dengan perspektif lebih menyeluruh termasuk yang memberikan pulangan positif seperti dalam perniagaan tenusu tempatan, Farm Fresh Bhd yang merupakan sebahagian daripada pelaburan modal teroka dalam sektor pertanian.
“Dalam pelaburan Farm Fresh, Khazanah memperoleh pulangan lebih 13 kali ganda iaitu nilai melebihi RM800 juta,” katanya.
Pada 2018, Khazanah dan PNB telah melabur masing-masing RM27 juta dan RM20 juta untuk pegangan minoriti masing-masing dalam FashionValet.
Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 28 Okt, memaklumkan kedua-dua GLC itu menerima RM3.1 juta hasil daripada penjualan saham dalam FashionValet.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial