KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Malaysia menyasar untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi yang kukuh di samping mengutamakan matlamat pembangunan mampan (SDG) dengan tumpuan khusus kepada perubahan iklim, tenaga boleh baharu dan teknologi baharu.
China telah menunjukkan kelebihan ketara dalam kesemua bidang itu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sekali gus membuktikan perkongsian perdagangan yang kukuh antara kedua-dua negara.
“Saya berpandangan China sangat menyokong dan sangat terbuka kepada kalangan syarikat dan pelabur dari Malaysia, begitu juga apabila melibatkan perdagangan dengan Malaysia. Jadi, inilah aspek yang bagi kami, sangat penting.
“Tahun depan, apabila Malaysia mempengerusikan ASEAN, kami menetapkan satu daripada keberhasilan (yang perlu dicapai), terutamanya keberhasilan ekonomi, untuk menambah baik perjanjian perdagangan barangan ASEAN dengan China justeru, ini akan meningkatkan perdagangan antara Malaysia dan China sekali lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam wawancara dengan saluran China Global Television Network (CGTN) yang dikendalikan wartawan, Cao Chufeng, yang turut dimuat naik menerusi akaun Tengku Zafrul di platform X malam ini.
Tengku Zafrul berkata 14 Memorandum Persefahaman (MOU) yang telah ditandatangani ketika Perdana Menteri China, Li Qiang, melawat Malaysia awal tahun ini menunjukkan hubungan dengan China yang amat erat, terutama dalam perkhidmatan perniagaan kepada perniagaan, khususnya melibatkan bidang digital.
“Malaysia akan menggiatkan lagi bidang ini malah, jika anda meneliti dari segi pelaburan, pelaburan digital adalah antara pelaburan terbesar ke dalam negara, dan kami juga merupakan satu daripada pengeksport terbesar dalam sektor elektrik dan elektronik,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial