BELANJAWAN 2025 > BERITA

Menteri Kabinet Zahir Ucapan Takziah Atas Pemergian Daim

13/11/2024 05:33 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Beberapa menteri Kabinet hari ini menzahirkan ucapan takziah atas pemergian bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin pagi ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menerusi hantaran di platform X mendoakan agar keluarga Allahyarham tabah dan sabar dalam berdepan dengan kehilangan ini. 

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Turut sama menzahirkan ucapan takziah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Semoga Allah SWT mengampunkan dosa beliau, menempatkan rohnya bersama mereka yang beriman dan menganugerahkan pahala untuk sumbangan beliau,” katanya menerusi hantaran di platform X. 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dalam ucapan takziah menerusi hantaran di Facebook turut berharap semoga keluarga Allahyarham diberikan kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini.

Terdahulu keluarga Allahyarham dalam kenyataan memaklumkan Daim meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya pada 8.21 pagi tadi.

Daim sebelum ini memegang jawatan Menteri Kewangan dari 1984 hingga 1991, dan kali kedua pada 1999-2001.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

"Allahyarham adalah mantan pemimpin UMNO… buruk dan baik pun ada jasa arwah kepada parti, saya ucap takziah kepada keluarga," katanya.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menerusi Facebook turut mendoakan ketabahan diberikan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dalam menghadapi dugaan ini.

Selain itu Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut menyampaikan ucapan takziah beliau menerusi hantaran di Facebook.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong juga menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berterima kasih kepada Daim atas sumbangannya kepada negara.

"Sudah tentu sebagai seorang tokoh, tidak semua orang bersetuju dengan pandangannya. Namun hakikatnya pada era Barisan Nasional dahulu, Allahyarham berperanan dalam kejayaan dan kelemahan pentadbiran kerajaan.

"Saya sentiasa berharap Allahyarham sempat menyiapkan memoirnya kerana tidak ramai orang yang memegang peranan penting seperti beliau, dalam satu jangka masa yang lama sejak 1960-an, mempunyai pelbagai kisah untuk diceritakan," katanya menerusi hantaran Facebook.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan