BELANJAWAN 2025 > BERITA

Dua Pesawah Sertai Persidangan Perubahan Iklim PBB COP29 Di Baku hujung Minggu Ini

13/11/2024 03:18 PM

GURUN, 13 Nov (Bernama) -- Dua pesawah dari Pendang, dekat sini berpeluang meningkatkan pengetahuan mengenai perubahan iklim terutama kepentingan mengurangkan pelepasan karbon apabila, dibawa ke Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP29) di Baku, Azerbaijan mulai 17 hingga 20 Nov ini.

Inisiatif membawa Abdullah Mohamad, 58, dan Keria Saad, 60, dilakukan sebuah syarikat bioteknologi, Free The Seed Sdn Bhd di sini, yang menaja sepenuhnya kos perjalanan dan penginapan dua pesawah itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Free The Seed P. Ramaness berkata persidangan itu penting untuk memberi pendedahan kepada petani berkaitan perubahan iklim dan kesannya kepada sektor pertanian.

“Saya telah dijemput menjadi penceramah bagi satu program di persidangan itu dan saya mengambil peluang memohon kepada penganjur untuk membawa dua pesawah berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata Abdullah dan Keria diharap meraih sebanyak mungkin pengetahuan sepanjang di Baku nanti untuk dikongsikan kepada petani lain di negeri ini berkaitan kepentingan mengurangkan pelepasan karbon.

Ramaness berkata pembakaran jerami oleh pesawah antara penyumbang tinggi kepada pelepasan karbon yang harus dikawal.

“Syarikat saya sudah membeli kira-kira 4,500 tan jerami padi sejak 2018 untuk dijadikan produk biodegradasi dan sekali gus mengurangkan pelepasan 610,000 kilogram (kg) karbon dioksida ke atmosfera.

“Di Kedah sahaja saya difahamkan kira-kira 1,080,000 tan jerami dibakar sepanjang dua musim menuai. Jadi kami dapat mengelak sehingga lapan peratus jerami daripada dibakar di negeri ini, tetapi banyak lagi yang perlu dilakukan,” katanya.

Sementara itu Abdullah yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pendang Selatan berkata beliau berharap dapat memperoleh pengetahuan baharu serta mempelajari inovasi terkini untuk mengurangkan pelepasan karbon.

“Ketika ini PPK Pendang Selatan telah berkerjasama dengan syarikat Free The Seed dengan membekalkan jerami kepada syarikat itu yang kemudian mengeluarkan produk biodegradasi daripada jerami padi.

“Inisiatif Free The Seed ini bukan sahaja membantu mengurangkan pelepasan karbon akibat pembakaran jerami tetapi juga meningkatkan pendapatan petani melalui penjualan jerami,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan