BELANJAWAN 2025 > BERITA

Daim Zainuddin Main Peranan Penting Dalam Landskap Perniagaan Negara

13/11/2024 04:35 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin merupakan ahli perniagaan dan ahli politik yang setia dan memainkan peranan penting dalam landskap perniagaan negara pada era 1980-an dan 1990-an.

Bekas ketua pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Yong Soo Heong berkata ini terutamanya ketika era penswastaan yang dimulakan kerajaan pada masa itu. 

“Memandangkan beliau merupakan seorang ahli perniagaan dan peguam, Daim tahu bagaimana cara untuk mengemudi landskap perniagaan, dan dapat membantu Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, melaksanakan banyak program penswastaan.

“Walaupun pada zahirnya beliau kelihatan agak pendiam, kurang bercakap, namun beliau mampu melaksanakan banyak perancangan dan mengenali ramai orang.

“Beliau tahu bagaimana untuk mewujudkan persekitaran yang mesra perniagaan, terutamanya ketika era Dasar Persyarikatan Malaysia diperkenalkan pada 1980-an,” kata Yong.

Yong menyifatkan Daim sebagai salah seorang penggerak utama Persyarikatan Malaysia yang menggerakkan sektor swasta menjadi menjadi tulang belakang aspirasi kerajaan itu dan menjadikan Malaysia sebagai 'Harimau Asia'.

Sementara itu, bekas timbalan ketua pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama Mikhail Raj Abdullah berkata Daim begitu bersungguh-sungguh membangunkan komuniti perdagangan dan perindustrian Bumiputera.

Mikhail berkata semasa Daim berkhidmat dengan kerajaan di bawah Kementerian Kewangan (MoF), kementerian itu merangka banyak program untuk membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera serta usahawan menyertai projek perniagaan, dengan tujuan meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi dan melalui penyertaan ekuiti.

Daim turut mengambil pelbagai langkah untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera, terutamanya melalui Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan pelbagai dana unit amanah.

Menurutnya lagi, selain seorang yang lemah lembut Daim juga tidak sukakan perhatian media dan sangat berahsia.

"Wartawan yang membuat liputan pada masa itu sering mendapati sukar untuk mendapatkan maklumat daripada beliau. 

“Dengan kata lain beliau sangat menyimpan rahsia,” kata Mikhail kepada Bernama.

Mikhail juga berkongsi bahawa wartawan yang membuat liputan perlu sentiasa bersedia dengan soalan yang ditanya kerana Daim sering membalas balik soalan kepada wartawan dan bertanya misalnya 'Siapa yang berkata begitu, atau siapa yang bagi tahu anda?'

Daim, yang nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dari 1984 hingga 1991 dan memegang semula jawatan yang sama dari 1999 hingga 2001.

Terdahulu, menurut kenyataan keluarganya, Daim menghembuskan nafas terakhir pukul 8:21 pagi ini pada usia 86 tahun ketika menerima rawatan di Hospital Assunta di Petaling Jaya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan