BELANJAWAN 2025 > BERITA

Lawatan TPM Ahmad Zahid Ke UAE Bakal Ketengah Inisiatif Rangka Kerja Ekonomi Madani

13/11/2024 08:57 PM

Daripada Zarul Effendi Razali

ABU DHABI, 13 Nov (Bernama) -- Pelbagai inisiatif di bawah Rangka Kerja Ekonomi MADANI merupakan antara perkara yang bakal diketengahkan dalam siri lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang bermula hari ini.

Bakal Duta Besar Malaysia ke UAE Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin berkata ini memandangkan fokus rangka kerja tersebut antara lainnya bertujuan untuk menyediakan persekitaran yang lebih baik bagi menarik pelabur asing ke Malaysia.

Sehubungan itu, katanya, Ahmad Zahid akan mengadakan sesi pertemuan bersama pemain industri dan pihak berkepentingan di negara Asia Barat itu merangkumi bidang pendidikan, kecerdasan buatan (AI) dan juga pengurusan bencana alam antaranya termasuk dengan Space42 dan juga NAFFCO FZO, syarikat pembekal dan pengeluar penyelesaian keselamatan hayat. 

“Hubungan dua hala antara Malaysia dan UAE bermula pada 1973. Sejak itu, hubungan antara kedua-dua negara telah berkembang dengan mantap berdasarkan hubungan ekonomi yang erat, saling menghormati serta kerjasama dalam pelbagai bidang,” katanya kepada media Malaysia sempena lawatan rasmi tersebut di sini, hari ini. 

Tengku Sirajuzzaman berkata baru-baru ini, Malaysia dan UAE telah memuktamadkan perbincangan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (CEPA) yang akan menjadi pemangkin untuk mengukuhkan lagi aktiviti perdagangan antara kedua-dua negara.

“Perjanjian itu dijadual dimeterai dalam masa terdekat ini,” katanya 

Setakat ini, katanya, UAE telah mengadakan jalinan kerjasama CEPA dengan India, Indonesia, Turkiye dan Cambodia yang menyaksikan perdagangan antara negara-negara itu mencatatkan peningkatan memberangsangkan. 

“Kedua-dua negara (Malaysia dan UAE) juga telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama  (JCC)  di Abu Dhabi pada 4 Jun, 2024 dan dipengerusikan bersama di peringkat Timbalan Menteri Luar Negeri Mohamad Alamin,” katanya.

Menurutnya, UAE merupakan antara pelabur asing terbesar di Malaysia dalam kalangan negara Asia Barat dan Malaysia menggalakkan agar pelabur UAE terus aktif meneroka peluang pelaburan dalam projek bernilai tinggi di Malaysia.

“Pelaburan utama  UAE di Malaysia ketika ini termasuk Mubadala Petroleum, Lulu Hypermarket, Medini Development dan Landmark Group manakala, pelaburan Malaysia di UAE berjumlah RM1.4 billion (US$375.9 juta).

“Antara bidang berpotensi yang boleh diterokai bersama dengan UAE ialah farmaseutikal, ekonomi digital dan hijau, AI, elektrik & elektronik, bahan kimia dan aeroangkasa,” katanya.

Beliau berkata antara syarikat Malaysia yang beroperasi di UAE termasuklah Petronas, TNB, UEM, Eversendai Corporation, Shing Yang Shipping dan Marrybrown.

Sementara itu, mengenai penyertaan Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) di ekspo Middle East Organic and Natural Product Expo pada 18 November ini, beliau berkata ia akan mengukuhkan status MIHAS sebagai pameran perdagangan yang diiktiraf di peringkat global dan dalam masa yang sama meletakkan Malaysia sebagai pemain terkemuka dalam landskap halal antarabangsa.

Satu kenyataan berasingan oleh Kementerian Luar memaklumkan lawatan rasmi tujuh hari Ahmad Zahid ke UAE itu merupakan lawatan peringkat tinggi pertama antara kedua-dua negara pada tahun ini selepas lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke UAE pada Oktober tahun lepas.

"Ia menunjukkan komitmen berterusan Malaysia dalam usaha mengukuhkan hubungan dan memupuk kerjasama dalam pelbagai sektor yang memberikan manfaat bersama kepada kedua-dua negara, sejak hubungan dua hala dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik pada September 2022," kata kenyataan itu.

UAE merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan destinasi import kedua terbesar dari rantau Asia Barat.

Pada 2023, jumlah perdagangan Malaysia dengan UAE meningkat sebanyak 5.4 peratus dari RM37.6 bilion (US$8.53 bilion) kepada RM39.63 bilion (US$8.67 bilion) berbanding tahun sebelumnya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan