KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Diiktiraf sebagai penerima Anugerah Biduan Negara 2024, penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin beriltizam mahu melakukan yang terbaik untuk membawa seni negara ke peringkat lebih baik pada masa akan datang.
Menganggap anugerah berkenaan sebagai antara pengiktirafan terbesar dalam kerjaya seninya, penyanyi berpengalaman hampir 30 tahun itu juga menyifatkan anugerah itu sebagai mewakili semua anak seni yang lain.
"Anugerah ini sangat istimewa kerana ia Anugerah Seni Negara dan anugerah ini melambangkan bukan kejayaan diri saya (sahaja) sebaliknya anak seni di luar sana.
“Dan saya percaya pada masa akan datang anak seni yang ada sekarang ni juga boleh mendapat pengiktirafan seperti saya selagi dia bekerja keras dan tahu apa matlamat dalam industri," katanya kepada pemberita pada Majlis Anugerah Seni Negara di sini malam ini.
Siti Nurhaliza mula menceburi industri seni pada 1995 dan sepanjang penglibatannya beliau memenangi lebih 300 anugerah dari dalam dan luar negara antaranya 42 anugerah pada Anugerah Industri Muzik, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (25) , Anugerah Planet Muzik (28), MTV Asia Award (empat) selain pengiktirafan Malaysia Book Of Records sebanyak dua kali.
Beliau juga telah merakamkan lebih 200 lagu menerusi 20 album, mengadakan lebih 60 konsert dalam dan luar negara serta disenaraikan sebagai 500 Muslim Berpengaruh Dunia bagi 10 berturut-turut serta pernah mengadakan konsert solo di Royal Albert Hall London pada 2005.
Penyanyi kelahiran Pahang itu juga mengulangi prinsipnya untuk membawa muzik dari sudut positif kepada masyarakat dan negara.
Sementara itu, Datuk Mohd Nor Khalid (Lat) yang diiktiraf sebagai Seniman Negara kesembilan berharap anugerah yang diterimanya hari ini menjadi dorongan kepada generasi masa ini yang menceburi bidang seni visual.
“Di usia macam ini, saya nak bagi dorongan kepada angkatan sekarang, generasi terkini dan juga generasi akan datang dalam bidang seni lukis, kartun dan penulisan kerana bidang ini juga mustahak untuk negara,” katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana mendapat sokongan daripada semua pihak termasuk kerajaan yang mengiktiraf jasa dan sumbangan anak seni.
Telah berkecimpung selama 60 tahun dalam dunia kartun, Lat mendapat pelbagai pengiktirafan dan gelaran antaranya Tokoh Warisan Orang Hidup, Ikon Budaya, Seniman Diraja Perak, Wira Budaya, Anak Malaysia dan Seniman Rakyat.
Sinonim dengan kartun Kampung Boy (1979) yang mencerminkan budaya bangsa serta kehidupan masyarakat di negara ini, karya itu menjadi karya agung beliau yang dikenali di peringkat antarabangsa dan menerima sambutan menggalakkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial