BELANJAWAN 2025 > BERITA

MATEPM 2024, Pemangkin Ubah Persepsi Masyarakat Terhadap TVET

14/11/2024 12:10 AM

PUTRAJAYA, 13 Nov (Bernama) -- Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) dan Anugerah Tokoh Mahir terus menjadi pemangkin dalam mengubah persepsi masyarakat terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). 

Anugerah tahunan itu memperlihatkan bidang TVET sebagai pilihan kerjaya berprestij dan berpotensi tinggi terutamanya untuk bakat muda. 

Pada edisi tahun ini, MATEPM mengiktiraf pencapaian luar biasa yang ditampilkan pemenang bagi Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) dan WorldSkills Malaysia Pengajar (WSMP) yang dianjurkan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Anugerah tertinggi bidang TVET negara itu diberikan kepada pelajar Sijil Teknologi Kejuruteraan Bangunan Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu, Misto Mikin yang cemerlang dalam kategori penurapan bata bagi WSMB dan pengajar bidang elektronik Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang, Muhammad Muhyddin Mohamad Ibrahim yang mengungguli WSMP.

Selain itu, Anugerah Tokoh Mahir dirangkul pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SG Education Group Datuk Seri P. Ganes atas sumbangannya dalam mengarusperdanakan TVET serta memperkasakan sistem pensijilan kemahiran negara.

Ganes melalui institusi latihan yang diusahakannya, menawarkan program latihan yang inovatif dan relevan dengan keperluan semasa termasuk dalam bidang teknologi baharu muncul, kenderaan elektrik serta kecerdasan buatan.

Mengulas mengenai anugerah yang diterima, beliau berkata ia satu pengiktirafan kepada usahanya sejak 1999 untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran yang berupaya menjana pendapatan tinggi di Malaysia. 

"TVET membuka peluang kepada pekerjaan berpendapatan tinggi dan kita kena ada perintis dalam bidang ini. Maka saya lihat ada peluang untuk kita merapatkan jurang kemahiran dan keperluan industri, terutamanya melalui kerjasama awam-swasta. 

"Sekarang kita dapat lihat banyak pelajar bekemahiran tinggi di Malaysia yang sudah mula tampil menjadi tenaga mahir yang disegani," katanya.  

Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir disampaikan kepada pemenang oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada MATEPM yang diadakan di sini hari ini. 

Dalam pada itu, JPK turut menganjurkan pertandingan JuniorSkills Malaysia (JSM) dan WorldSkills Malaysia University Challenge (WSMUC).

JSM diperkenalkan bertujuan memilih dan mengiktiraf pelajar sekolah berumur 16 tahun dan ke bawah yang berpotensi selain memberi pendedahan mengenai TVET bagi memupuk minat generasi muda menceburi kerjaya berasaskan kemahiran.

WSMUC pula adalah inisiatif JPK bersama Universiti Kuala Lumpur untuk memperkenalkan kemahiran masa depan iaitu bidang yang berkaitan dengan Revolusi Industri (4.0 kepada pelajar institut pendidikan tinggi.

Secara keseluruhan, Pertandingan WorldSkills Malaysia yang berlangsung pada 14 Mei hingga 4 Okt lepas melibatkan 1,537 peserta di peringkat prakelayakan dan 457 peserta di peringkat akhir.

Sebanyak 37 bidang dipertandingkan bagi kategori WSMB, tujuh (WSMP) dan empat (JSM).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan