BELANJAWAN 2025 > BERITA

Wan Rohaimi Wan Ismail Ketua Jurulatih Baharu Penang FC

14/11/2024 02:50 PM

GEORGE TOWN, 14 Nov (Bernama) -- Bekas penyerang kebangsaan Wan Rohaimi Wan Ismail dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak Penang FC yang baharu, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kekosongan kerusi yang ditinggalkan Akmal Rizal Ahmad Rakhli selepas dia direhatkan sejak beberapa minggu lepas.

Pengerusi Penang FC Daniel Gooi Zi Sen berkata Wan Rohaimi akan mengemudi Harimau Kumbang bagi meneruskan saingan Liga Super sehingga hujung musim 2024/2025.

Beliau yakin pengalaman luas yang dimiliki pengendali berusia 48 tahun itu dalam arena bola sepak tempatan akan dapat membawa Penang FC ke tahap lebih tinggi, sekali gus memperbaiki prestasi serta kedudukan pasukan dalam carta liga.

“Di bawah kepimpinan Wan Rohaimi, Penang FC dijangka mengaplikasikan gaya permainan yang mengutamakan penguasaan bola dan beliau terkenal dengan pendekatan yang membentuk pemain berfikir dan mengutamakan kecergasan fizikal, seiring dengan matlamat untuk menghasilkan pasukan yang kuat dan berdaya saing.

“Dengan pelantikan ini, Penang FC yakin bahawa Wan Rohaimi akan membawa visi dan strategi baharu yang bakal memperkukuhkan pasukan dan meningkatkan kedudukan Penang FC dalam Liga Super Malaysia,” katanya pada sidang media pengumuman jurulatih baharu Penang FC di Komtar di sini hari ini yang turut dihadiri Pengurus Besar Penang FC Jeffrey Chew dan Pengarah Teknikal Penang FC Merzagua Abderrazak.

Danial berkata pihaknya sedia mempertimbangkan untuk melanjutkan kontrak Wan Rohaimi sekiranya dapat mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan oleh pihak pengurusan dan pada masa sama mengharapkan sokongan penyokong bagi menguatkan semangat pasukan di bawah kendalian jurulatih baharu itu.

Mengenai status Akmal Rizal, beliau berkata Akmal kini membantu membimbing skuad bawah 23 tahun Penang FC kerana masih mempunyai kontrak bersama pasukan sehingga hujung musim ini.

Sementara itu, Wan Rohaimi menyifatkan Pulau Pinang amat dekat dihati kerana pernah bermain bersama Penang FC pada 2003 selain menjadi jurulatih pasukan bawah 21 tahun pada 2020, justeru beliau tidak berfikir panjang ketika menerima tawaran untuk mengendalikan skuad Harimau Kumbang.

Meskipun sedar tanggungjawab berat menanti untuk membentuk pasukan, namun bekas penyerang kebangsaan itu yakin dengan ilmu dan pengalaman yang dimilikinya akan dapat membawa perubahan kepada pasukan.

“Penang FC ada material…saya mengikuti rapat perkembangan pasukan ini, cuma mungkin (pemain) belum keluarkan lagi kualiti sebenar dan tugas saya adalah untuk mencari di mana kualiti yang hilang itu.

“Saya ada masa seminggu lagi sebelum perlawanan pertama saya iaitu Piala Malaysia menentang Kuching City FC pada 21 Nov ini dan saya harap dapat banyak sesi dengan pasukan untuk terapkan corak permainan saya,” katanya yang pernah mengendalikan PDRM FC.

Berpengalaman sebagai pemain profesional selama 15 tahun, Wan Rohaimi pernah mewakili beberapa kelab utama di Malaysia selain turut beraksi mewakili pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa seperti Sukan SEA, Kelayakan Piala Dunia dan Piala Tiger.

Selepas bersara sebagai pemain, anak jati Kelantan itu menceburi bidang kejurulatihan dan telah membimbing pelbagai pasukan termasuk Tumpat FA, Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), pasukan bawah 19 tahun Perlis serta pasukan bawah 21 Penang FC selain pernah menjadi jurulatih PDRM FC dan penolong ketua jurulatih KL City FC dalam saingan Liga Super.

Pengurusan Penang FC dalam mesyuarat pada 21 Okt lepas telah memutuskan untuk merehatkan Akmal Rizal susulan prestasi kurang memberangsangkan yang ditunjukkan pasukan yang kini menghuni tangga ke-11 liga dengan mengutip 11 mata daripada 14 perlawanan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan