BELANJAWAN 2025 > BERITA

MTL: Penduduk Rantau Panjang Buat Persiapan Akhir, Serik Tanggung Kerugian Barangan Rumah Rosak

14/11/2024 03:23 PM

Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri

PASIR MAS, 14 Nov (Bernama) -- Rata-rata penduduk di sekitar Rantau Panjang dilihat mula membuat persiapan rapi, mengambil langkah awal bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang telah bermula sejak 5 Nov lepas.

Ada yang membungkus dan menyimpan barang penting ke tempat tinggi, membuat rakit, dan ada juga yang bertungkus lumus membina laluan khas menggunakan papan di tempat tinggi bagi tujuan membawa keluar ahli keluarga ke tempat selamat jika banjir semakin membimbangkan.

Selain bagi tujuan keselamatan, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan juga bertujuan bagi mengelak atau mengurangkan kerugian yang akan ditanggung apabila banjir melanda.

Pemilik kedai makanan Rosnani Mat Jenin, 29,  yang menetap di Kampung Lubuk Jong berkata saban tahun kawasannya akan banjir berikutan rumahnya berhampiran dengan Sungai Golok, Thailand.

“Saya telah menetap di kampung ini selama belasan tahun dan setiap kali berlaku banjir rumah saya akan tenggelam kerana hujan lebat mengakibatkan air Sungai Golok melimpah.

“Oleh itu penduduk di kampung ini memang terpaksa memindahkan perabot, tilam, barangan elektronik dan dokumen penting ke tempat yang lebih tinggi,” katanya kepada Bernama di sini.

Penuntut sebuah pusat pengajian tinggi Fazrein Shah Hussin, 18, yang menetap di kampung sama turut membantu bapanya mengangkat barangan elektronik ke sebuah pondok yang dibina khas di kawasan tinggi.

“Saya pulang cuti semester membantu ibu dan bapa mengemas dan mengumpulkan barangan elektronik seperti seterika, mesin basuh, televisyen dan lain-lain lagi letak kesemua barangan itu di dalam kotak.

“Apabila berlaku banjir ibu dan bapa hanya bersedia keluar menyelamatkan diri dan membawa barangan keperluan asas ke pusat pemindahan banjir, walaupun saya berjauhan tetapi bila berlaku banjir saya tidak bimbang kerana telah membuat persediaan,” katanya.

Seorang buruh Rosdi Abdullah, 62, yang menetap di Kampung Lubuk Jong Hilir pula berkata apabila berlaku banjir dia bersama adiknya akan membina laluan khas daripada papan sebagai laluan untuk menyelamatkan ahli keluarga.

“Rumah saya berada di tepi Sungai Golok dan kawasan tempat tinggal berada di tanah rendah menyebabkan bahagian rumah bawah ditenggelami air sehingga ke paras pinggang.

“Oleh itu, saya membina laluan khas sepanjang 100 meter yang ditampung besi bagi membawa keluar lapan ahli keluarga termasuk ibu yang berusia 86 tahun jika berlaku banjir,” katanya sambil menambah beliau mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan laluan khas itu.

Rosdi berkata beliau juga membina pondok khas menempatkan kesemua barangan penting dan elektronik di tempat tinggi.

Sementara itu penjual burung hiasan Mohamad Hirwan Faizal, 42, yang menetap di Kampung Tersang pula mengambil inisiatif membina rumah rakit.

“Jika banjir menenggelamkan rumah, barangan kami akan selamat di atas rumah rakit, jadi tidak bimbang sangat.

“Penduduk kampung sebelum ini hanya membuat rak yang dipasang di dalam rumah sahaja kerana tidak mampu membina rumah rakit, kosnya terlalu mahal,” katanya kepada Bernama di Kampung Tersang, di sini.

Mohamad Hirwan berkata apabila berlaku banjir dia akan menempatkan semua burung hiasannya, dan juga ternakan ayam dan angsa di rakit khas berbumbung yang dibina khusus untuk haiwan berkenaan sahaja.

Beliau berkata dalam setahun, lima kali berlaku banjir di kawasan kampung berkenaan kerana kampung ini berada di kawasan paling hujung dan berada di bersebelahan Sungai Golok.

MTL atau lebih dikenali musim tengkujuh di Malaysia bermula pada 5 Nov lepas dan berterusan sehingga Mac 2025 dengan menyaksikan lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan