BELANJAWAN 2025 > BERITA

Program Dua Tahun Kerajaan MADANI Sedia Pelbagai Aktiviti

14/11/2024 09:02 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Karnival kerjaya, program pertukaran topi kaledar, kaunter pengurangan saman, jualan MADANI dan pemeriksaan kesihatan antara pengisian pada Program Dua Tahun Kerajaan MADANI  (2TM) yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 22 Nov ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Penolong Pengarah Kanan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (Pacu) Jabatan Perdana Menteri Nurul Hidayah Abdul Ghani berkata karnival kerjaya akan disertai 20 majikan yang menawarkan 1,500 peluang pekerjaan manakala jualan MADANI melibatkan 100 usahawan yang menjual barangan pada harga berpatutan. 

"Pada Sabtu dan Ahad, juga akan berlangsung Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024, antara lain melibatkan pembentangan status agenda reformasi perkhidmatan awam, (pengumuman) Deklarasi Kuala Lumpur Tekad Bersama Perkhidmatan Awam Malaysia dan pelancaran pekeliling reformasi kerenah birokrasi dan pekeliling uji kaji peraturan," katanya pada temu bual di radio Nasional.FM hari ini.

Nurul Hidayah berkata selain penganjuran pelbagai aktiviti yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat, program bertemakan 'MADANI di hati, rakyat disantuni' itu juga sebagai platform menguar-uarkan pencapaian semasa kerajaan MADANI, khususnya pada tahun ini.

Ia juga untuk mempromosikan agenda reformasi dalam perkhidmatan awam menerusi penganjuran sesi libat urus bersama kementerian, jabatan dan agensi selain wadah pencapaian kerajaan MADANI mengikut segmen seperti ekonomi, sosial, keselamatan, pendidikan dan infrastruktur.  

"(Penganjuran) program ini memberi peluang kepada masyarakat untuk berinteraksi dengan memberi input, pandangan dan maklum balas kepada kerajaan supaya dapat memberi perkhidmatan lebih baik selain (pengunjung) dapat mengetahui dan memahami dasar serta inisiatif dilakukan kerajaan untuk kesejahteraan rakyat," katanya. 

Nurul Hidayah berkata persiapan kini giat dilakukan bagi memastikan kelancaran program 2TM yang dijangka dihadiri lebih 230,000 pengunjung. 

Program 2TM anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui PACU selaku sekretariat induk dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Unit Pantau MADANI itu dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Nov. 

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan