BELANJAWAN 2025 > BERITA

KBS Tumpu Bangunkan Bakat Baharu Empat Sukan

15/11/2024 09:46 AM

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menumpukan untuk membangunkan bakat-bakat baharu daripada empat jenis sukan yang dipertandingkan pada Sukan Olimpik bermula tahun depan.

Menteri berkenaan Hannah Yeoh berkata empat sukan itu ialah angkat berat, memanah, taekwondo dan menembak.

Beliau berkata Kementerian Kewangan juga telah bersetuju untuk menyediakan dana tambahan hampir RM1 juta untuk meneroka bakat baharu bagi setiap empat sukan disenaraikan itu.

“Kita rasa sukan-sukan berkenaan memerlukan suntikan dana. Kami sudah minta (dana) daripada Kementerian Kewangan.

“Mereka telah beri hampir RM1 juta bagi setiap sukan bangunkan bakat dan cari pelapis baharu untuk memastikan kumpulan bakat yang lebih besar,” katanya selepas sesi pascanilai Sukan Olimpik dan Paralimpik 2024 semalam.

Keempat-empat sukan terbabit belum pernah menyumbang pingat buat negara pada Sukan Olimpik setakat ini.

Dalam pada itu, Hannah berkata terdapat keperluan untuk mencari bakat baharu dalam sukan berbasikal selain mahu melihat lebih ramai lagi penerjun wanita mewakili negara pada masa depan.

“Dalam acara terjun terutamanya tidak ada bakat baharu dan keperluan pengisian perlu supaya kita tidak bergantung pada beberapa atlet sahaja,” katanya.

Berdasarkan senarai penerjun wanita dalam skuad kebangsaan ketika ini, hanya Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri yang pernah beraksi di pentas Olimpik.

Pandelela muncul penerjun paling berjaya setakat ini selepas berjaya merangkul dua pingat pada Sukan Olimpik, masing-masing bagi edisi London 2012 dan Rio 2016.

Sementara itu, Hannah berkata pencarian bakat atlet para turut diberi perhatian dalam sesi pascanilai itu antaranya bagi olahraga dan berbasikal.

“Difahamkan, kita masih tidak dapat mencari pelapis untuk Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru lelaki F20) … bagi sukan berbasikal para pula jurulatih mereka maklumkan memang sukar dan perlu berusaha keras kerana memerlukan tujuh tahun untuk mempersiapkan atlet,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan