BELANJAWAN 2025 > BERITA

Jangan Pandang Rendah Keupayaan Aaron-Wooi Yik - Rexy

15/11/2024 12:55 PM

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berharap semua pihak tidak memandang rendah keupayaan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang tewas kepada pasangan ranking lebih rendah pada pusingan kedua Kumamoto Masters Jepun 2024 semalam.

Jurulatih berusia 56 tahun itu berkata kejutan sering berlaku dalam badminton, seperti Aaron-Wooi Yik (ranking keenam dunia) menewaskan gandingan sama Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin dari Taiwan (ranking ke-59) di separuh akhir Masters Korea 2024 sebelum dinobatkan juara Super 300 itu minggu lepas.

“Kita tengok banyak juga kejutan di Kumamoto Masters Jepun, (jadi) jangan terlalu memandang rendah pemain kita. Sekarang ini adalah tentang bagaimana pemain boleh melakukan yang terbaik di lapangan. 

“Bukan masalah ranking 59 dan ranking enam, dia (Aaron-Wooi Yik) tidak boleh kalah tapi mesti tahu kenapa, mungkin jurulatih Tan Bin Shen lebih tahu sebab dia ikut mereka di Jepun,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia di sini hari ini. 

Ditanya mengenai peluang pemenang dua pingat gangsa Sukan Olimpik berkenaan beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou bulan depan, Rexy berkata mereka perlu menjuarai kejohanan di China dan memperbaiki segera kelemahan kerana ada kejohanan penting di tanah air iaitu Terbuka Malaysia 2025.

Aaron-Wooi Yik, yang baru sahaja dinobatkan juara Masters Korea 2024 selepas menundukkan pasangan tuan rumah Jin Yong-Kim Won Ho minggu lepas, gagal mengekalkan momentum apabila tewas 21-11, 21-13 dalam masa 26 minit kepada Hsiang Chieh-Chi Lin pada pusingan kedua Kumamoto Masters Jepun 2024 semalam. 

Sementara itu Rexy berkata badan induk berkenaan sedang berbincang dengan Institut Sukan Negara (ISN) untuk membawa masuk pakar psikologi sepenuh masa bagi memperkukuhkan lagi aspek mental pemain.

Beliau menjelaskan kehadiran pakar psikologi Frederick Tan sebelum ini adalah khusus bagi membantu pemain negara menghadapi cabaran Sukan Olimpik 2024 di Paris.

“Kita ada berbincang dengan Frederick macam apa yang dia mahu dan bagaimana kita boleh bekerjasama tapi belum tahu dia terima atau tidak. Ada beberapa nama lagi selain itu,” katanya. 

Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh semalam memaklumkan badan induk berkenaan sedang membuat cadangan penambahbaikan daripada aspek komunikasi dan sokongan sains sukan bagi mencapai matlamat utama pada temasya sukan, terutamanya Sukan Olimpik 2028 Los Angeles (LA28). 

Selain itu mereka turut membincangkan keperluan dan kepentingan skuad badminton kebangsaan untuk mempunyai pakar psikologi secara tetap, namun masih di peringkat awal.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan