BELANJAWAN 2025 > BERITA

BNM Umum Liberalisasi Dasar Pertukaran Asing Bagi Bank Pembangunan Dan Institusi Kewangan Pembangunan

15/11/2024 02:00 PM

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan liberalisasi dasar pertukaran asing (FEP) bagi bank pembangunan pelbagai hala dan institusi kewangan pembangunan bukan pemastautin yang layak.

BNM dalam satu kenyataan hari ini berkata liberalisasi itu bertujuan untuk memudahkan pelaburan institusi ini dalam bidang pertumbuhan utama di Malaysia yang termasuk industri elektrik dan elektronik (E&E), penggunaan teknologi, kelestarian dan pusat data.

“Bank pembangunan pelbagai hala dan institusi kewangan pembangunan bukan pemastautin yang layak itu kini boleh menerbitkan sekuriti hutang dalam denominasi ringgit untuk kegunaan di Malaysia dan memberi pembiayaan dalam ringgit kepada syarikat pemastautin. 

“Langkah ini akan membolehkan pembiaya dan sektor perniagaan menstrukturkan pembiayaan dalam ringgit bagi projek dalam negeri, di samping mengurangkan risiko ketidakpadanan mata wang,” kata bank pusat.

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour liberalisasi ini akan mendorong penyertaan yang lebih tinggi daripada pelabur antarabangsa dalam bidang pertumbuhan utama di Malaysia. 

“Hal ini selari dengan permintaan dan minat yang semakin meningkat daripada institusi kewangan antarabangsa untuk membiayai projek pelaburan bernilai tinggi di Malaysia berdasarkan pemerhatian sejak kebelakangan ini,” katanya.

Menurutnya, bank pembangunan pelbagai hala dan institusi kewangan pembangunan bukan pemastautin yang layak itu boleh berkongsi kepakaran teknikal, khususnya dalam pembiayaan campuran yang akan membantu peserta domestik sedia ada memenuhi permintaan pembiayaan untuk menyokong pelaburan strategik dan usaha peralihan iklim di Malaysia.

“Dengan memupuk persekitaran pelaburan yang lebih kondusif, inisiatif liberalisasi ini akan meningkatkan terbitan dan penyertaan penerbit dan pelabur antarabangsa yang akan merancak dan mengukuhkan lagi pasaran bon dan sukuk domestik,” kata Abdul Rasheed.

Bagi maklumat lanjut sila layari www.bnm.gov.my/fep

Sementara itu, BNM berkata program perintis Pelabur Pemastautin Berkelayakan (QRI) akan diperluaskan lagi untuk menerima permohonan daripada korporat pemastautin yang layak yang mempunyai aset pelaburan langsung di luar negara berjumlah RM500 juta dan ke atas (sebelum ini RM1 bilion), dengan tarikh akhir pendaftaran dilanjutkan sehingga 30 Jun, 2025

“Ini adalah berdasarkan maklum balas positif yang diterima mengenai program ini.

"Maklumat tambahan tentang program ini seperti kriteria kelayakan, borang permohonan dan maklumat operasi lain boleh didapati di laman sesawang BNM," kata bank pusat.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan