BELANJAWAN 2025 > BERITA

Sukuran Taib CEO Baharu Perbadanan Labuan

15/11/2024 06:06 PM

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Bekas Pengarah Bahagian Rancangan Fizikal Negara di Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Mohd Sukuran Taib dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Labuan yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dalam kenyataan berkata pelantikan itu dibuat selaras dengan Subseksyen 10(1) Akta Perbadanan Labuan 2001 (Akta 609). 

“Beliau memiliki pengalaman luas dalam bidang perancangan bandar selama 29 tahun. Sepanjang perkhidmatan, beliau memainkan peranan penting dalam merangka dan melaksanakan dasar-dasar pembangunan fizikal negara, khususnya melalui jawatan terakhir sebagai Pengarah Bahagian Rancangan Fizikal Negara, PLANMalaysia,” katanya.

Sukuran, 52, merupakan lulusan Ijazah Sarjana Perancangan Perumahan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Zaliha berkata dengan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki, Sukuran mampu menerajui Perbadanan Labuan dengan penuh integriti dan dedikasi bagi memastikan kesinambungan pembangunan yang mampan di wilayah itu. 

“Ini penting agar seiring dengan pembangunan di Kuala Lumpur dan Putrajaya, berlandaskan Rancangan Struktur Labuan 2040,” kata beliau.

Sementara itu, Zaliha turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada bekas CEO terdahulu Rithuan Ismail atas kepimpinan dan sumbangan beliau sepanjang menjawat jawatan berkenaan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan