BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kemenangan Besar Parti Presiden Sri Lanka Dilihat Sebagai Sokongan Untuk Perpaduan

15/11/2024 10:03 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 15 Nov (Bernama) -- Kemenangan besar parti Presiden Sri Lanka, Anura Kumara Dissanayake, dalam Pilihan Raya Parlimen pada Khamis dipuji sebagai sokongan untuk perpaduan nasional.

Gabungan kiri Kuasa Rakyat Nasional (NPP) atau Jathika Jana Balawegaya (JJB), yang diketuai oleh parti Janatha Vimukthi Peramuna (JVP), meraih kemenangan besar bukan sahaja di kawasan majoriti Sinhalese tetapi juga di wilayah utara dan timur yang didominasi keturunan Tamil.

Dissanayake, 55, yang menjadi presiden pada September, membubarkan badan perundangan beranggotakan 225 ahli, dengan partinya hanya memiliki tiga kerusi sebelum ini.

Mandat baharu ini memberikan NPP 159 kerusi Parlimen, manakala pakatan pembangkang Samagi Jana Balawegaya (SJB) pimpinan Sajith Premadasa, yang disokong oleh bekas presiden Ranil Wickremesinghe, berada di tempat kedua dengan 40 kerusi, menurut keputusan pilihan raya pada Jumaat.

"Terima kasih kepada semua yang mengundi untuk sebuah renaissance !" kata Dissanayake dalam satu hantaran di X.

Kemenangan besar di Parlimen ini membolehkan Dissanayake melaksanakan dasar-dasarnya dengan lebih agresif di negara yang mempunyai 22 juta penduduk itu.

Antara cabaran utamanya adalah memimpin pemulihan Sri Lanka daripada kemusnahan ekonomi pada 2022, yang menyaksikan dua peletakan jawatan presiden dalam tempoh tiga bulan.

Keputusan pilihan raya ini "menyampaikan mesej yang kuat dan menyatukan daripada rakyat," kata bekas Menteri Luar, Ali Sabry, yang menambah bahawa beliau melihatnya sebagai "seruan untuk solidariti, saling memahami, dan perdamaian."

"Detik ini adalah peluang bagi semua rakyat Sri Lanka, termasuk mereka yang menjadi diaspora, untuk merenung secara mendalam realiti dan sentimen baharu yang mendefinisikan negara hari ini," katanya dalam satu hantaran media sosial.

Sri Lanka pernah menghadapi pemberontakan etnik Tamil dan perang saudara antara 1983 dan 2009.

Parti Sri Lanka Podujana Peramuna, pimpinan dua bekas Presiden Mahinda Rajapaksa dan Gotabaya Rajapaksa mengalami kekalahan besar dengan hanya meraih tiga kerusi berbanding 145 kerusi dalam Parlimen yang lepas.

Keluarga Rajapaksa dipersalahkan secara meluas atas bencana ekonomi Sri Lanka dua tahun lepas, ketika negara itu menghadapi krisis tukaran asing dan rakyat bergelut mendapatkan bekalan makanan, ubat-ubatan, dan bahan api asas.

Selepas gagal membayar hutang luar negara, Sri Lanka terpaksa mendapatkan dana bantuan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

NPP memperoleh 61.5 peratus daripada 11.8 juta undi dalam pilihan raya Khamis, yang mana 17 juta rakyat Sri Lanka layak mengundi.

Kemenangannya di wilayah utara yang didominasi etnik Tamil mengejutkan ramai pemerhati, yang melihatnya sebagai perkembangan positif untuk mengatasi perpecahan wilayah.

Dissanayake "diterima oleh semua rakyat Sri Lanka, tanpa mengira agama atau etnik," kata Bimal Rathnayake, pemimpin NPP.

Selain usahanya untuk membawa perubahan ekonomi untuk manfaat rakyat biasa, Dissanayake berjanji untuk memansuhkan sistem presiden eksekutif.

Kini presiden memiliki kekuatan yang diperlukan dalam Parlimen untuk melaksanakan reformasi yang dijanjikan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan