KOTA KINABALU, 15 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri memperuntuk RM2.5 juta menerusi Belanjawan Sabah 2025 bagi melaksanakan Program Intervensi Kanak-Kanak Autisme dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah.
Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun berkata program itu akan dilaksana di taman didikan kanak-kanak di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Kudat dan Beaufort.
“Kerajaan Sabah memandang serius peningkatan statistik pendaftaran OKU (subkategori austime) di negeri ini yang merekodkan seramai 5,689 orang kanak-kanak dengan 1,152 orang daripadanya didaftarkan pada 2024.
“Disebabkan peningkatan dalam diagnosis autisme, terdapat keperluan mendesak untuk membela nasib mereka melalui intervensi awal,” katanya ketika membentangkan belanjawan negeri bertema ‘Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera’ pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.
Beliau berkata usaha intervensi awal itu termasuk menyediakan program prasekolah dan sokongan kepada kanak-kanak berkeperluan khas atau menunjukkan tanda-tanda kelewatan dalam perkembangan khususnya bagi mereka yang tergolong dalam kumpulan B40.
Masidi juga berkata Sabah akan meneruskan Program Pemberian Bantuan Persekolahan dengan peruntukan sebanyak RM26.06 juta pada 2025 bagi membantu meringankan beban kewangan ibu bapa terutama golongan isi rumah berpendapatan rendah.
Beliau berkata bantuan pakaian seragam, kasut sekolah dan alat tulis kepada 1,075 sekolah rendah di seluruh Sabah akan memberi manfaat kepada 291,275 murid.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial