BELANJAWAN 2025 > BERITA

Sidang Kemuncak Pembekal Elektronik Tampil Johor Sebagai Destinasi Pelaburan

15/11/2024 11:22 PM

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Sidang Kemuncak Pembekal Elektronik Malaysia yang diadakan baru-baru ini menyerlahkan usaha berterusan kerajaan untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan dan inovasi, menampilkan Johor sebagai destinasi pelaburan utama bagi sektor elektronik.

Acara itu dianjurkan oleh Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Johor dan rakan kongsi industri Philip Morris (Malaysia) Sdn Bhd, kata JETCO dan MIDA dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata sidang kemuncak itu adalah bukti usaha berterusan Malaysia untuk mencapai kecemerlangan dalam industri teknologi tinggi.

“Dengan menyediakan platform dinamik untuk dialog dan menjalin perkongsian strategik, kami bertekad dalam misi untuk meningkatkan daya saing Malaysia di persada dunia.

“Acara transformatif ini bukan sahaja merangsang pertumbuhan mampan tetapi juga memperkasakan pembekal tempatan, mengukuhkan peranan penting Malaysia sebagai hab rantaian bekalan global yang terulung, memacu inovasi dan kejayaan,” katanya

Pengerusi Eksekutif JETCO Datuk Seri Hasni Mohammad ketika menyampaikan ucapan penutup menekankan peranan penting JETCO dalam menghubungkan dan memudahkan pengaturan antara pihak berkepentingan di Johor.

Beliau berkata komitmen agensi itu untuk memupuk perkongsian strategik yang menyumbang kepada kejayaan berterusan inisiatif pembangunan ekonomi Johor.

Pada acara itu, Hasni menandatangani Surat Niat dengan Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Profesor Strategi di Rome Business School (RBS), Profesor Antonio Scialletti melibatkan kerjasama untuk memilih individu yang berprestasi tinggi dan meningkatkan lagi kemahiran mereka melalui program RBS dijadual diadakan pada 2025.

Sementara itu, Philip Morris memuji tenaga kerja Johor yang berkemahiran tinggi, infrastruktur termaju dan kepakaran bertaraf dunia dalam pembuatan elektronik dengan menyatakan bahawa Johor dengan inisiatif mesra perniagaan dan ekosistem inovatifnya, merupakan lokasi sesuai untuk pelaburan asing dan domestik oleh syarikat untuk mengakses pasaran Asia Tenggara dan global.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan