BELANJAWAN 2025 > BERITA

APEC Perlu Tetapkan Standard Emas Untuk Kerjasama Dalam Atasi Kejutan Ekonomi Dan Cabaran Iklim - PM Anwar

16/11/2024 09:13 AM

Daripada M. Saraswathi

LIMA (Peru), 16 Nov (Bernama) -- Dalam era yang ditakrifkan oleh gangguan global yang pesat daripada kejutan ekonomi hingga cabaran iklim, terdapat keperluan untuk perubahan asas dalam Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mengenai pendekatannya terhadap kerjasama ekonomi yang membolehkan semua ekonomi, tanpa mengira saiz, berkembang maju.

“APEC perlu menjadi penanda aras untuk kerjasama ekonomi global, menerajui bukan dari belakang tabir tetapi di barisan hadapan,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini pada Jumaat.

Beliau berkata dunia bukan lagi sekadar saling berkaitan; ia saling bergantung pada tahap yang menuntut negara untuk memikirkan semula maksud bekerjasama dan wujud bersama.

“Di APEC, kita mempunyai peluang untuk menerajui bukan sahaja dengan idea tetapi dengan tindakan berani yang membina kekuatan ekonomi daripada asas,” kata beliau dalam ucapan pada Dialog Tidak Rasmi Pemimpin dengan Tetamu APEC pada Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) di sini.

“Hari ini, tanggungjawab APEC adalah jelas: mentransformasi saling kebergantungan ini menjadi kekuatan yang terbesar.

“Gangguan global bukan bersifat sementara; ia adalah norma baharu. Ekonomi APEC perlu beralih daripada langkah reaktif kepada kerjasama ekonomi yang proaktif dan berdaya tahan,” kata Anwar.

Menurut beliau, forum ekonomi yang terdiri daripada 21 anggota ini memerlukan rangka kerja ekonomi yang bukan sahaja mampu bertahan terhadap kejutan tetapi juga responsif terhadap kejutan.

“Bayangkan persekitaran perdagangan dan pelaburan apabila setiap ekonomi APEC, sama ada besar atau kecil, maju atau membangun, mampu menyerap kejutan dan berkembang maju,” kata beliau.

Anwar berkata itu bermula dengan integrasi digital yang lebih baik, kewangan hijau yang kukuh dan komitmen yang berterusan terhadap rantaian bekalan yang adil dan telus.

“Usaha ini akan memperkasakan kita untuk menghadapi gangguan dan meneruskan model pertumbuhan yang benar-benar menyokong semua ekonomi,” kata beliau.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa pembangunan dan kemajuan ekonomi tidak boleh dilihat semata-mata daripada paradigma materialistik. 

“Kita tidak boleh mengabaikan golongan miskin dan mereka yang terpinggir serta mangsa keganasan, pencerobohan dan penganiayaan seperti pembunuhan mereka yang tidak berdosa atas alasan bangsa atau agama atau pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.

“Dunia sedang memerhati dan kita tidak boleh bertangguh,” kata beliau.

Dalam memastikan tadbir urus global, membina daya tahan, melindungi golongan yang lemah dan tertindas, APEC dapat menawarkan dunia suatu pendekatan untuk maju ke hadapan yang bukan sahaja makmur tetapi juga mampan dan adil, kata Anwar.

“Kita perlu membuat perubahan melalui tindakan kita. Dunia memerlukan kita untuk menjadi berani dan kita perlu bersedia,” kata beliau.

APEC merupakan forum antara kerajaan bagi 21 ekonomi anggota di Lingkaran Pasifik yang menggalakkan perdagangan bebas di seluruh rantau Asia Pasifik.

Ia mewakili hampir 40 peratus daripada populasi dunia, hampir separuh daripada perdagangan global dan lebih 60 peratus daripada ekonomi global.

Malaysia adalah antara 12 anggota pengasas APEC. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan