BELANJAWAN 2025 > BERITA

MGA Bimbing Bakat Muda Sektor Gas Dan Tenaga Menerusi Prestige

16/11/2024 03:03 PM

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Persatuan Gas Malaysia (MGA) membimbing bakat muda untuk sektor gas dan tenaga Malaysia melalui program penglibatan penuntut universiti iaitu Program Kemampanan Tenaga, Peralihan dan Visi kepada Jurutera Siswazah (Prestige).

Presiden Abdul Aziz Othman berkata industri gas telah lama menjadi penyumbang penting kepada jaminan tenaga dan pertumbuhan sosioekonomi Malaysia, terutama ketika negara sedang beralih kepada pelepasan karbon sifar bersih pada 2050.

“Industri gas memerlukan inovator muda dengan kemahiran dan keupayaan yang luas dan pelbagai untuk memacu masa depan peralihan tenaga.

“Selama beberapa dekad, industri gas telah menyumbang lebih RM135 bilion kepada keseluruhan ekonomi dan mewujudkan beribu-ribu pekerjaan merentas rantaian nilai,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata Kementerian Ekonomi baru-baru ini telah membangunkan rangka kerja dasar yang komprehensif untuk teknologi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

“CCUS sahaja dijangka mewujudkan lebih 200,000 pekerjaan dan menjana nilai kasar RM250 bilion. Ini seterusnya menekankan jangka hayat dan relevannya industri gas sehingga 2050 dan selepas tempoh itu,” katanya.

Beliau berkata gas asli akan kekal penting bagi campuran tenaga Malaysia, yang diunjurkan membentuk 56 peratus menjelang 2050.

“Kami memerlukan siswazah yang berbakat dan kreatif yang boleh memanfaatkan teknologi baharu untuk memastikan gas asli menyumbang kepada matlamat kemampanan dan pengurangan karbon kami.

“Visi dan peluang ini perlu disampaikan kepada tenaga kerja masa depan,” katanya.

Menurut MGA, pada tahun ini Prestige yang diadakan dari 15 hingga 17 Nov, 2024, di Kuching, Sarawak telah  menarik penyertaan lebih 50 penuntut tahun akhir Universiti Teknologi Mara Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Teknologi Sarawak dan Curtin University Malaysia.

Program tahun ini buat kali pertama turut melibatkan penuntut daripada bidang bukan kejuruteraan, sekali gus menunjukkan keperluan yang semakin meningkat untuk pelbagai kepakaran dalam industri tenaga.

“Acara utama ialah lawatan sambil belajar ke Sarawak Metro Sdn Bhd dan penuntut boleh mengetahui mengenai kenderaan elektrik sel bahan api berkuasa hidrogen Malaysia, mempamerkan inovasi dalam tenaga mampan,” katanya.

MGA secara konsisten mempromosikan industri gas Malaysia kepada beribu-ribu jurutera muda sejak Prestige di[perkenalkan 16 tahun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan