BELANJAWAN 2025 > BERITA

Islam Tidak Hapus Adat Diharamkan Syarak, Beri Ruang Penyesuaian Tuntutan Agama - Mohd Asri

16/11/2024 03:41 PM

KANGAR, 16 Nov (Bernama) -- Islam tidak menghapuskan adat dan budaya semata-mata kerana terdapat elemen yang diharamkan syarak, sebaliknya memberikan ruang untuk pemurnian melalui penyesuaian dengan tuntutan agama.  

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata adat dan budaya yang mengandungi perkara diharamkan syarak tidak semestinya dihapuskan, tetapi diperbaiki untuk memurnikan adat, budaya dan seni itu dengan cara membuang unsur haram berkenaan.

“Hal ini seperti tindakan Nabi Muhammad SAW yang membetulkan lirik nyanyian wanita Ansar dalam majlis perkahwinan. Dalam satu hadis, Baginda menyuruh mereka meninggalkan ungkapan yang tidak sesuai tetapi membenarkan nyanyian yang menyebut sifat-sifat mulia,” katanya kepada Bernama.

Mohd Asri berkata perkara berkenaan antara 13 resolusi yang dihasilkan melalui perbincangan dalam Persidangan Majlis Ilmuwan Nusantara (MIN) kali kedua tahun ini yang berlangsung di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada 14 dan 15 Nov.

Persidangan bertemakan Imbangan Antara Agama dan Budaya berkenaan melibatkan penyertaan 30 ilmuwan dari beberapa negara termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, Brunei, Kemboja dan Vietnam.

Beliau berkata antara resolusi lain persidangan berkenaan ialah adat, budaya dan seni yang tidak bertentangan dengan syarak boleh digunakan sebagai wasilah dakwah iaitu seperti memasukkan unsur yang baik dalam karya seni.

“Resolusi lain ialah adat, budaya dan seni yang membawa kepada maslahah dianjurkan oleh Islam meskipun bukan daripada masyarakat Islam,” katanya.

Mohd Asri berkata resolusi lain seterusnya ialah adat, budaya dan seni sekalipun tidak mempunyai unsur keagamaan seperti dakwah atau ketuhanan tetap dibolehkan selagi tiada perkara yang bertentangan dengan syariat dengan adat, budaya dan seni berkenaan diizinkan serta tidak boleh diharamkan atas nama Islam.

“Selain itu, usaha Islamisasi sesuatu adat, budaya dan seni adalah sesuatu yang baik namun hendaklah berhati-hati agar ia tidak dianggap sebagai satu ibadah khusus dalam agama sehingga akhirnya menjadi bidaah.

“Resolusi lain pula ialah menghormati adat, budaya dan seni sesuatu kaum adalah ajaran Islam. Sikap keras menentang semua adat, budaya dan seni sesuatu kaum tanpa alasan syarak menyelisihi pendirian Nabi SAW,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan