BELANJAWAN 2025 > BERITA

TPM Fadillah Tinjau Pemasangan Meter Pintar Air, Perangkap Gris Sekitar Ayer Keroh

16/11/2024 07:04 PM

MELAKA, 16 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini meluangkan masa kira-kira satu jam bagi meninjau pemasangan meter air pintar dan perangkap gris di sekitar Ayer Keroh di sini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi (PETRA) tiba di Pangsapuri Sri Utama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada kira-kira 4 petang bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron bagi memeriksa pemasangan meter tersebut di premis berkenaan.

Beliau kemudiannya memeriksa perangkap gris yang dipasang di premis makanan di Lingkaran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) sebelum meninjau penjualan barangan elektrik di Kota Fesyen di sini.

Pemasangan meter air pintar mampu meningkatkan kecekapan bacaan meter dan memastikan kitaran bil yang konsisten serta sebahagian daripada inisiatif bil tanpa kertas (e-bill) ke arah teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Ia menjimatkan masa mengumpul data bacaan sekali gus mengelakkan bacaan tidak tepat.

Sementara itu, perangkap gris adalah alat yang berfungsi untuk memisahkan minyak dan lemak daripada air buangan dari dapur komersial atau industri seperti restoran, hotel dan kilang makanan.

Ia penting bagi mengelakkan minyak dan lemak masuk ke dalam sistem pembentungan yang boleh menyebabkan sumbat dan limpahan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan