BELANJAWAN 2025 > BERITA

Prestige: Merapatkan Pengetahuan Akademik Dan Industri Tenaga

16/11/2024 08:07 PM

KUCHING, 16 Nov (Bernama) -- Persatuan Gas Malaysia (MGA) akan mengadakan program tahunan Kemampanan Tenaga & Peralihan dan Wawasan kepada Jurutera Siswazah (PRESTIGE) 2024 bertujuan untuk merapatkan pengetahuan akademik dengan industri tenaga.

Program itu yang berlangsung dari 15 hingga 17 Nov menyaksikan MGA menjadi tuan rumah kepada 50 pelajar universiti dari seluruh Borneo.

Setiausaha Agung MGA Khairulanwar Zakaria berkata menerusi program berkenaan, pelajar diberi peluang keemasan untuk mendapat pendedahan dan berhubung secara langsung dengan beberapa profesional paling berpengalaman dalam industri gas dan tenaga.

“Kami telah berusaha meminta universiti menghantar pelajar terbaik mereka ke program ini supaya dapat memberi pendedahan dan berkongsi pengetahuan yang berkaitan dengan industri gas dengan mereka.

“Di bawah PRESTIGE, kami juga menawarkan pendedahan kepada topik-topik semasa seperti peralihan tenaga dan pada masa sama, kami membantu pelajar membuat persediaan selepas tamat pengajian bagi memasuki dunia pekerjaan,” katanya di majlis makan malam jalinan PRESTIGE 2024 di sini semalam.

Khairulanwar berkata sepanjang program tiga hari itu, MGA telah menyusun jadual yang dipenuhi dengan cerapan, pengalaman dan interaksi langsung dengan beberapa nama besar dalam industri gas dan tenaga.

“Kami juga menganjurkan lawatan teknikal ke Metro Sarawak untuk melihat Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang merangkumi sistem pengangkutan berasaskan hidrogen. Ini perkara baharu dan kami percaya ia akan berkembang dengan ketara pada masa hadapan.

“Kami juga mengatur sesi perkongsian dengan profesional daripada industri gas dan penceramah daripada Kementerian Ekonomi untuk membincangkan isu-isu peralihan tenaga. Selain itu, kami akan mengadakan sesi panel mengenai perkara yang perlu disediakan oleh pelajar untuk temu duga kerja dan resume mereka,” tambahnya.

Bercakap pada majlis jalinan makan malam itu, Naib Presiden Eksekutif Penyampaian Projek Sarawak Energy Pramod Kumar Karunakaran berkata pelajar landskap tenaga menceburi bidang yang dinamik, berkembang pesat dan mencabar.

Beliau berkata majikan dalam sektor tenaga, sama ada dalam gas asli atau tenaga boleh baharu sedang mencari bakat generasi akan datang yang inovatif, boleh menyesuaikan diri dan berdaya tahan.

“Anda perlu ada perspektif baharu dan kesediaan untuk menangani cabaran, sama ada mengurus kerumitan peralihan tenaga, menangani kesan perubahan iklim atau membangunkan dan memanfaatkan teknologi yang akan menjadikan sistem tenaga kita lebih cekap dan mampan.

"Memandangkan anda bersedia untuk memasuki industri ini, ia bukan sahaja tentang kemahiran teknikal yang anda perlukan tetapi juga minda dan kemahiran insaniah yang diperlukan untuk kekal dan berkembang maju," katanya.

Sementara itu, salah seorang peserta Cabrera Jerin Rantai, 19, dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak berkata PRESTIGE telah mencetuskan motivasinya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai industri gas.

“Untuk menjadi jurutera yang lebih baik pada masa hadapan, kita perlu mempunyai kemahiran rangkaian yang baik. Daripada (PRESTIGE), kita boleh mempelajari kemahiran ini untuk menjalin hubungan dengan berkesan dan mempamerkan potensi kita,” katanya.

Cornellius Donny Presley, 23, dari Universiti Teknologi Sarawak (UTS), berkata PRESTIGE membolehkannya menimba pengalaman terutama untuk pertumbuhan kerjaya masa depan.

“Selain itu, ia juga menyediakan peluang hubungan yang baik, bertemu pelajar baharu dan berhubung dengan jurutera-jurutera profesional.

“Aktiviti-aktiviti sebegini memberi saya rangsangan untuk memulakan kerjaya saya dalam kejuruteraan elektrik dan juga menjadi sebahagian daripada syarikat besar,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan