BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pelepasan Tiga Pemain JDT Disebabkan Perancangan Perjalanan

16/11/2024 08:28 PM

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Permohonan untuk melepaskan tiga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) lebih awal daripada skuad Harimau Malaya disebabkan oleh perancangan perjalanan untuk perlawanan Kumpulan A Liga Juara-Juara Elit AFC JDT, berdepan Shandong Taishan di Jinan pada 26 Nov ini.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT Alistair Edwards berkata pasukannya dijadualkan berlepas ke China pada 21 Nov, sehari selepas pemain pulang daripada perlawanan persahabatan antarabangsa Harimau Malaya menentang India di Hyderabad pada Isnin (18 Nov).

“Kami mencapai persetujuan dengan pasukan Harimau Malaya untuk penjaga gol Syihan Hazmi (Ahmad Syihan Hazmi Mohamed) kekal bersama pasukan kebangsaan memandangkan Harimau Selatan menggunakan khidmat Andoni Zubiaurre dalam ACL Elite setakat ini.

“Kami berterima kasih kepada Ketua Jurulatih Pasukan Kebangsaan Pau Marti Vicente dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana menyokong perjuangan kami dalam ACL Elite dan JDT akan terus menyokong usaha Malaysia untuk layak ke Piala Asia 2027,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Edwards berkata JDT mengambil serius kejohanan elit benua itu selepas membuat pelaburan besar musim ini.

Beliau berkata JDT berharap dapat menjalani kempen dengan cemerlang yang bukan sahaja akan meningkatkan status kelab itu di Asia tetapi juga memperbaiki kedudukan Malaysia dalam kejohanan kelab Asia, sekali gus memberikan manfaat kepada bola sepak negara kerana lebih banyak pasukan boleh bermain di pentas elit Asia pada musim-musim akan datang.

Terdahulu, FAM mengumumkan bahawa tiga pemain iaitu pemain pertahanan Matthew Davies dan Muhammad Feroz Baharudin serta pemain sayap Arif Aiman ​​Mohd Hanapi telah dilepaskan daripada skuad kebangsaan menjelang aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang India justeru meninggalkan hanya 23 pemain.

Menurut FAM, JDT membuat permohonan itu menjelang perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur Rovers FC pada Rabu (20 Nov).

Anak buah Vicente akan menentang India di Stadium Gachibowli bagi mencari satu lagi kemenangan selepas kejayaan 3-1 ke atas Laos dalam satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium PAT, Bangkok, Khamis lepas.

Perlawanan menentang Laos dan India bulan ini merupakan sebahagian perancangan Vicente untuk persediaan pasukan menghadapi Kejohanan ASEAN 2024 bulan depan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan