BELANJAWAN 2025 > BERITA

Jenazah Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor Selamat Dikebumikan

16/11/2024 08:50 PM

JOHOR BAHRU, 16 Nov (Bernama) -- Jenazah Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Latiff Yusof selamat dikebumikan sekitar 6.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Mount Austin di sini hari ini.

Abdul Latiff, yang berusia 71 tahun, menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Columbia Asia, Tebrau di sini pada 1.01 tengah hari.

Terdahulu, jenazah dikafan dan disolatkan di Masjid Bomba Larkin sebelum dibawa ke kediaman Allahyarham di Kampung Serama, Larkin untuk solat jenazah kali kedua serta penghormatan terakhir.

 Bekas Setiausaha Kerajaan Johor itu meninggalkan balu, Datin Safiah Aris dan empat anak.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian beliau.

Pemergian Allahyarham dikongsikan menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim.

Abdul Latiff, yang memiliki pengalaman 36 tahun dalam perkhidmatan awam Johor, memulakan kerjaya sebagai Penolong Pemungut Hasil Tanah di Pejabat Tanah Kota Tinggi pada 1975.

Antara jawatan yang pernah disandang ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat, Pegawai Daerah Mersing, Pegawai Daerah Kluang, Pegawai Daerah Muar dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan