BELANJAWAN 2025 > BERITA

Lebih 500,000 Nahas Jalan Raya Direkod Sehingga Oktober - Hasbi

17/11/2024 02:16 PM

MELAKA, 17 Okt (Bernama) -- Sebanyak 532,125 nahas jalan raya direkodkan sejak Januari hingga Oktober lepas, dengan 5,364 daripadanya melibatkan kemalangan maut, dan 68 peratus daripada kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

Beliau berkata situasi itu menunjukkan penekanan terhadap keselamatan jalan raya perlu diperkukuh secara berkesan dan berterusan di setiap peringkat lapisan masyarakat terutamanya dalam kalangan penunggang serta pembonceng motosikal.

“Justeru Klinik Penunggangan Selamat adalah satu pengisian Program Komuniti Keselamatan Jalan Raya bersempena sambutan Hari Peringatan Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia 2024 (WDOR 2024).

“Ia dilihat dapat memberi manfaat kepada pengguna motosikal berkaitan pengetahuan tentang peraturan lalu lintas, meningkatkan kesedaran dan kemahiran keselamatan penunggangan motosikal dalam pelbagai situasi untuk bertindak dengan cepat dan tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Komuniti Keselamatan Jalan Raya WDOR 2024 di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, Ayer Molek di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan Datuk Jazmanie Shafawi.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan