BELANJAWAN 2025 > BERITA

Santuni MADANI: MIDF, KPB Meterai MoU Bangunkan Kampung Nipah Pulau Pangkor

17/11/2024 04:25 PM

IPOH, 17 Nov (Bernama) -- Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Koperasi Pangkor Berhad (KPB) bagi kerjasama dalam pelaksanaan projek di bawah Program Santuni MADANI.

Perjanjian berkenaan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif MIDF Azizi Mustafa dan Pengerusi KPB Azmi Hamid pada Program Santuni MADANI di Kampung Nipah, Pulau Pangkor hari ini. 

Azizi berkata perjanjian itu menggariskan peranan dan tanggungjawab kedua-dua pihak dalam memastikan kejayaan projek yang bakal dilaksanakan di Kampung Nipah.

"MoU ini dimeterai untuk menangani isu-isu sosioekonomi setempat dan memperkasakan potensi kampung melalui pemantauan langsung dan libat urus dengan penduduk tempatan.

"Kita mahu pastikan apa jua projek yang dibangunkan akan memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat, terutama dalam aspek pembangunan infrastruktur dan kesejahteraan sosial di Kampung Nipah," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurut Azizi, terdapat empat cadangan dikemukakan pada peringkat awal dalam MoU terbabit membabitkan kerja baik pulih dan naik taraf Kolam Rekreasi Kampung Nipah yang kini menjadi tarikan utama pelancong. 

"Kita bercadang membina sistem penapisan semula jadi untuk memastikan kualiti air memasuki kolam sentiasa bersih termasuk membaiki lantai kolam yang rosak. 

"Tebing dan penghalang kolam akan diperkukuhkan bagi tingkatkan keselamatan selain menambah kemudahan seperti tempat duduk, kios dan kawasan berkelah untuk pengunjung," katanya. 

Azizi berkata MIDF akan terus komited dengan agenda kerajaan menerusi Program Santuni MADANI untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar. 

"Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk Kampung Nipah dari segi peningkatan infrastruktur, tetapi juga memberi peluang untuk memupuk kerjasama antara pihak kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat tempatan dalam usaha membangunkan komuniti setempat secara mampan.

"Dengan adanya kerjasama antara MIDF dan KPB, projek ini diharapkan dapat memberi impak positif kepada penduduk Kampung Nipah, serta menjadi contoh bagi kawasan luar bandar lain di negara ini," katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan