BELANJAWAN 2025 > BERITA

Jumlah Pakar, Ahli Terapi Autisme Berdaftar Masih Rendah - Nancy

18/11/2024 04:54 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Jumlah ahli atau pakar terapi autisme yang berdaftar di negara ini masih rendah, demikian Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata hingga kini sebanyak 498 ahli terapi pertuturan dan bahasa serta 2,473 ahli terapi cara kerja sudah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata usaha meningkatkan bilangan profesion terapi autisme memerlukan pengembangan ekosistem secara holistik melibatkan kerjasama kerajaan dan pihak lain.

“Pembangunan ekosistem yang lebih besar perlu dilaksanakan segera. Selain itu, kementerian juga sedang membangunkan modul asuhan dan penjagaan kanak-kanak autisme yang akan dilancarkan pada sambutan Hari Kanak-Kanak nanti.

“Peranan badan kawal selia kepada amalan juruterapi autisme juga boleh diperkembangkan bagi meningkatkan lagi kualiti penjagaan dan mengukuhkan kepercayaan awam terhadap profesion ini,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) berhubung isu kekurangan tenaga pakar atau ahli terapi autisme pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Nancy menjelaskan nisbah antara bilangan Orang Kurang Upaya (OKU) autisme berdaftar berbanding bilangan pusat autisme di seluruh negara di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau agensi kerajaan yang lain tidak mencukupi.

Bagaimanapun, beliau berkata kementerian melaksanakan langkah bagi mengurangkan jurang itu menerusi program Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dengan 573 premis PDK sedang beroperasi di seluruh negara.

“Hingga September lepas, sebanyak 19,907 OKU sedang menerima perkhidmatan PDK di seluruh negara dan kerajaan menyalurkan bantuan untuk meringankan beban kos pengoperasian PDK termasuk bayaran elaun pelatih OKU PDK sebanyak RM300 sebulan.

“Pada 2024 sahaja, hingga September, sebanyak RM137.4 juta bantuan kewangan telah disalurkan demi manfaat kesemua PDK di seluruh negara,” katanya menjawab soalan asal Dr Alias mengenai usaha menambah bilangan pusat autisme serta bantuan atau insentif kepada pengusaha pusat swasta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan