BELANJAWAN 2025 > BERITA

8,543 Usahawan Terima Latihan, Bimbingan Program TUBE Sejak 2014

18/11/2024 04:11 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Seramai 8,543 usahawan telah menerima latihan dan bimbingan di bawah Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) sejak dilaksanakan pada 2014 sehingga 31 Okt lepas, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.

Beliau berkata daripada jumlah itu 8,312 peserta berjaya mendaftarkan perniagaan dan menerima geran perniagaan berjumlah RM125.8 juta.

“Dari aspek keberkesanan program, Program TUBE telah menyediakan 15,068 peluang pekerjaan dan merekodkan nilai jualan terkumpul RM181.5 juta,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) yang ingin tahu bilangan usahawan yang dilahirkan serta dilatih melalui Program TUBE oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp) sehingga tahun ini dan jumlah dana peruntukan atau geran yang telah diagihkan kepada mereka.

Program TUBE bertujuan menggalakkan keusahawanan dalam kalangan belia bumiputera yang berumur 18 hingga 30 tahun, dengan bantuan disediakan merangkumi pembangunan kapasiti berbentuk latihan dan geran permulaan sebanyak RM10,000 hingga RM15,000 bergantung pada jenis perniagaan serta bimbingan dan khidmat nasihat perniagaan.

Ramanan berkata SME Corp juga telah merancang pelaksanaan program TUBE pada tahun 2025 bagi menggalakkan generasi belia menceburi bidang perniagaan dengan jumlah dana RM20 juta.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai perancangan kementerian bagi usahawan yang berumur 31 tahun dan ke atas, beliau berkata terdapat banyak program lain yang disediakan antaranya Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) 2.0, Business Accelerator Programme 3.0 dan Business Accelerator Programme for Indian Small Business.

“Juga kita lihat program pengukuhan eksport PKS (perusahaan kecil dan sederhana) Go Global untuk menggalakkan program eksport Bumiputera. Program untuk peningkatan industri strategik dan syarikat berprestasi tinggi, berprestij juga disediakan.

“Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro juga disediakan, dan tidak lupa program inovasi inklusif i-SEE,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Muslimin mengenai langkah diambil bagi meningkatkan kemahiran pemasaran usahawan e-dagang luar bandar dalam menghadapi persaingan semakin mencabar, Ramanan berkata pihaknya menyediakan tawaran perniagaan yang dipecahkan kepada lima zon iaitu utara, timur, selatan dan tengah, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan serta Sarawak melibatkan 500 orang peserta.

“Daripada program-program ini kita telah menjemput 350 pinjaman daripada kumpulan alumni dan menyediakan bantuan sebanyak RM100,000 kepada mereka dengan kadar faedah sebanyak dua peratus,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan