BELANJAWAN 2025 > BERITA

Gesaan PM Semasa APEC Adalah Strategi Kritikal Tangani Globalisasi Perdagangan - ISIS

18/11/2024 05:06 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk peralihan ke arah 'perdagangan saksama dan berperikemanusiaan' serta memperdalam hubungan perdagangan pada mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) baru-baru ini di Lima, Peru, adalah strategi kritikal bagi mengharungi cabaran yang dihadapi globalisasi perdagangan dan multilateralisme.

Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah berkata globalisasi perdagangan serta multilateralisme kini berdepan dengan krisis keyakinan global dan dua perubahan utama diperlukan untuk mengatasi cabaran ini. 

"Pertama, jika keterbukaan perdagangan mahu direlevankan semula, ia mesti menerima pakai prinsip pertumbuhan inklusif dari awal lagi," katanya.

Mohd Faiz berkata Rangka Kerja Ekonomi MADANI Malaysia sudah pun merangkumi cita-cita perdagangan yang saksama serta berperikemanusiaan, menetapkan model pertumbuhan yang memperjuangkan kedua-dua pertumbuhan ekonomi dan ekuiti dalam ukuran yang sama.

“Dengan cara ini, Malaysia melalui penglibatannya dalam forum pelbagai hala seperti APEC sedang membawa nilai-nilai panduan MADANI ke peringkat global, menyuntik cita-cita ekonomi yang inklusif serta mampan ke dalam dasar perdagangan dan pelaburan antarabangsa,” katanya.

Kedua, Mohd Faiz berkata apabila ketidaktentuan perdagangan global menjadi semakin mendalam, negara mesra perdagangan mesti mengembangkan integrasi dengan rakan kongsi sedia ada selain meninjau lebih jauh untuk hubungan perdagangan baharu.

Seruan perdana menteri kepada pemimpin APEC untuk mempercepatkan usaha merealisasi Kawasan Perdagangan Bebas Asia-Pasifik (FTAAP) akan menghimpunkan ekonomi maju dan sedang pesat membangun di seluruh rantau ini.

“Selain itu, usaha Malaysia baru-baru ini untuk mengukuhkan perkongsian ekonomi dengan membangunkan wilayah-wilayah selatan, dari Mesir hingga Peru, menyerlahkan potensi kerjasama Selatan-Selatan dalam memberikan ekonomi sedang pesat membangun agensi yang lebih besar dalam membentuk peraturan dan rangka kerja integrasi perdagangan global,” katanya.

Mohd Faiz berpendapat dua imperatif daripada perdana menteri itu juga menawarkan pelan hala tuju bagi ASEAN untuk mengekalkan perkaitan ekonominya termasuk mengukuhkan peranannya sebagai jaguh sistem perdagangan yang lebih saksama dan multilateralisme.

“Ini merujuk kepada inti gesaan Anwar pada Pemukiman Pemimpin Ekonomi APEC, yang mana beliau menggesa pemimpin global untuk beralih daripada perdagangan bebas dalam erti kata tradisional ke arah apa yang disebut oleh perdana menteri sebagai 'perdagangan saksama dan berperikemanusiaan'.

“Pendekatan ini menganggap memperdalamkan hubungan perdagangan bukan untuk mengakhiri matlamat itu sendiri tetapi kaedah bagi memupuk kemakmuran bersama dan kemajuan sosial,” katanya lagi

Kedua, Mohd Faiz berkata bahawa dengan mengeratkan hubungan dengan rakan kongsi sedia ada sambil meneroka hubungan baharu adalah sejajar dengan peranan ASEAN dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

“Begitu juga, penglibatan yang lebih baik dengan pasaran serta wilayah baharu di luar ASEAN, contohnya, dengan memperdalam hubungan perdagangan dengan Afrika melalui Kawasan Perdagangan Bebas Benua Afrika (AfCFTA) dan dengan Amerika Latin melalui Perikatan Pasifik, boleh mengurangkan pergantungan ASEAN pada pasaran tradisional selain mempelbagaikan perkongsian ekonomi blok-blok tersebut,” katanya.

Mohd Faiz menambah bahawa dengan memperjuangkan visi perdagangan yang saksama dan berperikemanusiaan, Malaysia boleh meletakkan ASEAN sebagai model untuk pertumbuhan inklusif serta mampan, menunjukkan bahawa integrasi ekonomi boleh memberi manfaat lebih daripada sekadar sedikit keistimewaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan