BELANJAWAN 2025 > BERITA

Terengganu Bentang Belanjawan 2025 Berjumlah RM1.887 Bilion

18/11/2024 06:06 PM

KUALA TERENGGANU, 18 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Terengganu hari ini membentangkan Belanjawan 2025 berjumlah RM1.887 bilion yang diperuntukkan untuk Perbelanjaan Mengurus.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata Perbelanjaan Mengurus tersebut termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM450 juta.

“Di bawah Perbelanjaan Mengurus, sebanyak RM94.99 juta diperuntukkan untuk Perbelanjaan Tanggungan dan RM1.792 bilion untuk Perbelanjaan Bekalan iaitu RM278.19 juta untuk Emolumen; RM361.49 juta untuk Perkhidmatan dan Bekalan.

“Manakala RM23.93 juta untuk aset; RM1.127 bilion untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap; dan RM1 juta untuk Perbelanjaan Lain,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2025 bertemakan ‘Demi Masa Depan Terengganu’ pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata di bawah Perbelanjaan Pembangunan, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM385.79 juta (86 peratus) untuk sektor sosial, RM44.28 juta (10 peratus) untuk sektor pentadbiran dan RM19.93 juta (4 peratus) untuk sektor ekonomi.

Sementara itu, katanya, hasil dianggarkan berjumlah RM1.997 bilion dengan RM74.10 juta disumbang daripada hasil cukai; RM189.25 juta daripada hasil bukan cukai; dan RM1.733 bilion daripada terimaan bukan hasil termasuk Dana Khas Kerajaan Persekutuan iaitu bayaran hasil petroleum yang dianggarkan berjumlah RM1.634 bilion.

Beliau berkata menerusi pelbagai strategi yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Meningkatkan Hasil dan Perbelanjaan Hemat Negeri, hasil janaan negeri sebenar pada  2023 berjumlah RM283.15 juta, iaitu melebihi 41.1 peratus berbanding anggaran RM200.66 juta.

“Sehingga September tahun ini pula, sejumlah RM221.39 juta berjaya dikutip, lebih tinggi 14 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu sebanyak RM194.13 juta.

“Selari dengan itu, pelbagai mekanisme turut dipertimbangkan untuk memastikan kestabilan jangka panjang ini dapat dicapai tanpa membebankan sesiapa terutamanya rakyat kebanyakan dan golongan peniaga,” katanya. 

Menteri Besar berkata Belanjawan 2025 menumpukan kepada lima fokus iaitu Peningkatan Kelestarian Fiskal; Pembangunan Rantaian Nilai Makanan; Pengukuhan Modal Sosial; Pemerkasaan Ekonomi Berdaya Saing; dan Pemberdayaan Masyarakat Usahawan. 

Menurutnya, bagi memandu perancangan dan pelaksanaan rangka tindakan fokus tersebut, kerajaan negeri juga menetapkan sasaran Terengganu untuk tempoh jangka sederhana menjelang 2030 iaitu hasil janaan negeri mencecah RM510 juta; pertumbuhan sektor pertanian sekitar 10.6 peratus; dan tahap kebahagiaan negeri dan kesejahteraan rakyat melebihi skor 4.75 dan 140.0.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga menyasarkan ekonomi berkembang antara 6 hingga 7.2 peratus setahun iaitu mencecah RM51.5 bilion; dan bilangan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) bertambah kepada 53,900 syarikat. 

“Justeru, bagi merealisasikan kesemua sasaran ini, kerajaan negeri menetapkan 25 inisiatif yang akan diberikan keutamaan tinggi,” kata Ahmad Samsuri. 

Beliau berkata antara inisiatif tersebut adalah pembukaan kawasan baharu melibatkan tanah terbiar dan membangunkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) baharu di setiap daerah, serta menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur di kawasan sawah padi bagi meningkatkan pengeluaran komoditi makanan utama di negeri ini. 

Selain itu dalam usaha membangunkan pertanian berskala industri, beberapa anak syarikat kerajaan negeri seperti TDM Berhad, Ladang Rakyat Terengganu dan TADC akan turut menggerakkan usaha melibatkan pemain industri dan para pelabur untuk perkongsian sumber serta kepakaran antaranya bagi memajukan projek penanaman cili, pembangunan ladang kelapa dan projek agrivoltaic di Setiu.

Dalam pada itu, katanya, bagi merancakkan perkembangan pasaran halal secara holistik kerajaan negeri akan menubuhkan Majlis Halal Terengganu yang melibatkan pelbagai badan berkaitan kerajaan.

“Inisiatif ini bagi memperkemas dan memudah cara proses permohonan, pengeluaran dan pematuhan sijil halal serta menggalakkan penyertaan dan pertumbuhan pemain industri ke arah mencapai objektif jangka panjang bagi membangunkan ‘taman halal’ yang berakreditasi di negeri kita,” katanya. 

Sementara itu beliau berkata bagi mengekalkan kecemerlangan pendidikan, Yayasan Terengganu dengan kerjasama Terengganu Inc. akan menambah jumlah dana sebanyak RM6 juta untuk menyediakan biasiswa ke peringkat pengajian tinggi.

 Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu juga akan kembali melaksanakan Program Usahawan Belia Sejahtera (UBES) dengan kerjasama institusi kewangan dalam negara untuk menyokong golongan belia menceburi bidang keusahawanan melalui penyediaan latihan, geran dan bimbingan yang berterusan, katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan