BELANJAWAN 2025 > BERITA

PDC Jadi Pemangkin Utama Pacu Pertumbuhan Ekonomi Pulau Pinang - Chow

18/11/2024 06:44 PM

GEORGE TOWN, 18 Nov (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menjadi pemangkin utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri dalam tempoh lebih lima dekad penubuhannya, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Menurutnya menerusi pelbagai inisiatif inovatif dan pelaburan strategik, PDC telah berjaya menarik pelaburan domestik dan asing, mencipta ribuan peluang pekerjaan dan memperkukuh pembinaan infrastruktur negeri.

Menurutnya kejayaan itu bukan sahaja meningkatkan taraf hidup rakyat malah menjadikan Pulau Pinang sebagai antara destinasi pilihan pelaburan dan perniagaan.

"Sehingga suku ketiga tahun ini, PDC telah mencatat perkembangan amat memberangsangkan dan ini selaras dengan visi Pelan Strategik PDC 2024-2028 untuk menjadikan PDC sebagai peneraju usaha pembangunan sosioekonomi yang mampan bagi menjana dan mengagihkan kekayaan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Perayaan Deepavali dan Ulang Tahun Penubuhan PDC ke-55 dekat sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PDC Datuk Aziz Bakar.

Mengulas selanjutnya, Chow berkata ketika ini terdapat empat projek PDC sedang dilaksanakan dan telah siap iaitu pertama, GBS TechSpace, bangunan GBS keempat yang dibangunkan oleh PDC dengan ruang penyewaan 60,000 kaki persegi dan telah mendapat sijil layak menduduki bangunan pada 29 Ogos lepas.

“Kerajaan negeri telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan Penang Silicon Design @5KM+, melibatkan bangunan GBS TechSpace yang dibangunkan PDC di Taman Perindustrian Bayan Lepas bagi menarik pelaburan dan menyokong lebih banyak syarikat reka bentuk bersepadu tempatan serta asing ke Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata, projek kedua GBS By The Sea kini dalam proses penyiapan, dan sehingga 1 November lepas, kerja-kerja di tapak telah mencapai 98.9 peratus kemajuan melibatkan ruang penyewaan 294,000 kaki persegi," katanya.

Chow berkata projek ketiga adalah Taman Perindustrian Batu Kawan 3 (BKIP3), dan PDC menerusi bahagian perindustrian kini dalam proses perbincangan bersama beberapa pelabur bagi penawaran tanah, dengan hanya pelabur daripada industri dipromosikan akan ditawarkan beroperasi di kawasan itu.

“Dengan keluasan bersih 164.7 hektar, BKIP3 adalah taman perindustrian ke-10 dibangunkan oleh PDC dan pelabur dijangka bersedia memulakan pelaburan di kawasan itu pada 2026,” katanya.

Menurutnya projek keempat adalah Taman Teknologi Bandar Cassia (BCTP) iaitu taman perindustrian ke-11 dibangunkan oleh PDC.

Katanya tiga syarikat multinasional telah memulakan pembinaan iaitu Silicon Precision Malaysia Sdn Bhd dan Plexus Manufacturing Sdn Bhd, masing-masing dengan keluasan 8.09 hektar manakala 6.86 hektar bagi MKS Instruments Sdn Bhd.

“Pada masa sama, bahagian perindustrian kini dalam perbincangan bersama beberapa syarikat lain bagi penawaran tanah di BCTP yang mengutamakan kriteria menggalakkan, bersih dan hijau,” katanya.

Chow berkata pihaknya yakin dengan perkembangan terkini itu, projek yang sedang berjalan dan telah siap itu mampu memberikan pulangan pendapatan lebih baik kepada PDC dalam  jangka panjang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan