BELANJAWAN 2025 > BERITA

Hubungan Perdagangan Kukuh Malaysia-UAE Sokong Permintaan Produk Halal Di Rantau MENA

18/11/2024 07:54 PM

Oleh Zarul Effendi Razali

DUBAI, 18 Nov (Bernama) -- Hubungan perdagangan kukuh antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam industri halal telah menyokong permintaan dan memupuk kepercayaan yang tinggi terhadap produk halal premium Malaysia di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia telah membangunkan sistem pensijilan halal yang komprehensif dan dipercayai di peringkat global melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan pensijilan halal negara diiktiraf di peringkat antarabangsa, dengan 88 badan pensijilan di seluruh dunia menyokongnya.

“Malaysia juga telah membina ekosistem halal yang kukuh dan matang, secara konsisten berada di kedudukan teratas dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi kami terhadap standard tinggi, kualiti dan integriti, yang menyokong kepimpinan dan komitmen Malaysia untuk memajukan sektor halal global,” katanya dalam ucapan perasmian beliau di acara MIHAS@Dubai 2024, hari ini.

MIHAS@Dubai 2024, anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 18 Nov 2024, diadakan seiring dengan Expo Produk Organik & Asli Timur Tengah, yang disokong oleh Kementerian Perubahan Iklim dan Alam Sekitar UAE.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.

Menerusi ucapan alu-aluannya, Reezal Merican berkata selama lebih 20 tahun, MIHAS telah menjadi tonggak dalam memajukan industri halal Malaysia di dalam negara dan apabila melangkah ke pentas global, pameran itu menyasar pencapaian yang lebih besar dan dianjurkan di seluruh dunia. 

“Saya ingin merakamkan penghargaan tulus ikhlas kepada 120 pembeli antarabangsa dan premium kami dari 20 negara, dan juga kepada syarikat Malaysia, kementerian kerajaan, dan agensi yang menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap pameran sulung MIHAS@Dubai ini.

“Melangkah kehadapan, marilah kita terus bekerjasama, berinovasi dan membina perkongsian yang akan meningkatkan industri halal bukan sahaja untuk Malaysia, tetapi untuk komuniti global,” katanya.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata pada 2023 Malaysia merekodkan eksport halal bernilai RM55 bilion (US$12.5 bilion) dengan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) memainkan peranan penting dalam membuka potensi yang lebih besar untuk industri tersebut.

Menurutnya, UAE muncul sebagai destinasi utama produk halal Malaysia dalam kalangan negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), mencatatkan import bernilai RM1.13 bilion (US$256 juta).

Tahun ini, dengan MIHAS@Dubai, Ahmad Zahid berkata kerajaan menyasar mencapai sasaran jualan eksport sebanyak RM1 bilion (US$250 juta) menunjukkan keyakinan permintaan tinggi terhadap produk halal Malaysia.

“Selama dua dekad, MIHAS telah menjadi platform yang banyak membantu kejayaan perniagaan halal, daripada perusahaan kecil hingga syarikat besar. Dengan penganjuran MIHAS di Dubai, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengukuhkan hubungan Malaysia dengan Timur Tengah dan melangkaui darinya.

“Ini bukan sekadar menunjukkan komitmen kami; ia adalah janji untuk terus membina ekosistem halal yang teguh dan inklusif,” katanya.

Melalui komitmen terhadap Diplomasi Halal, Ahmad Zahid berkata Malaysia berusaha untuk mengukuhkan hubungan antarabangsa, mewujudkan ekosistem halal yang dinamik dan menjalin perkongsian strategik yang akan menggerakkan matlamat bersama.

“Marilah kita melihat MIHAS@Dubai bukan sahaja sebagai pameran perdagangan tetapi sebagai platform untuk membina perkongsian yang berkekalan.

“Secara bersama-sama, kita boleh mengukuhkan komuniti halal global, memberi manfaat kepada perniagaan, masyarakat, dan generasi akan datang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan