BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pindaan Akta PNPV, Gubal RUU Kualiti Benih Tanaman Dibentang Ke J'kuasa Khas Parlimen

18/11/2024 08:19 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Pindaan kepada Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (Akta PNPV) dan penggubalan Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tanaman akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Rang Undang-Undang yang dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul pada 18 Julai lepas.

Beliau berkata Jabatan Pertanian juga bersedia untuk membentangkan kesan pindaan akta dan penggubalan rang undang-undang itu kepada mana-mana pertubuhan petani sekiranya diperlukan.

“Semua cadangan baharu atau pindaan peraturan tidak berkaitan dengan keselamatan dan kedaulatan negara perlu melaksanakan Analisis Impak Peraturan (RIA) bagi meningkatkan kualiti dasar diperkenalkan kerajaan yang merangkumi tujuh elemen di bawah Sistem Pengurusan Proses Peraturan.

“Bagi Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tanaman telah melaksanakan proses RIA bermula 6 Mac 2013 manakala proses RIA bagi pindaan Akta PNPV 2004 dilaksanakan bermula 15 Mei 2019.

“Penyata Impak Peraturan (RIS) bagi rang undang-undang dikeluarkan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) pada 22 Jun 2018, manakala RIS bagi pindaan Akta PNPV 2004 dikeluarkan 4 April 2024,” katanya pada sesi Kamar Khas, Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau memberi penjelasan berhubung sama ada kementerian itu melaksanakan Penilaian Kesan Sosial dan sesi konsultasi awam kesan pindaan Akta PNPV dan Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tanaman yang dikemukakan Wong Chen (PH-Subang).

Mohamad berkata konsultasi awam bagi rang undang-undang dan pindaan akta itu telah dilaksanakan secara bersemuka dan secara dalam talian semasa proses RIA dijalankan.

Mengenai maklum balas royalti dan sistem paten tumbuhan, beliau menjelaskan Akta PNPV 2004 memberi hak pembiak baka melalui Sijil Perakuan Hak Pembiak baka dalam tempoh 20 hingga 25 tahun.

Ia juga membenarkan pembiak baka mengutip royalti ke atas penggunaan varieti baharu melalui tujuh skop aktiviti iaitu pengeluaran dan pembiakan semula, penyesuaian keadaan terhadap pengeluaran; jualan, pemasaran, eksport, import; serta penyimpanan stok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan