KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Inovasi menjadi teras penting dalam inisiatif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) untuk meningkatkan industri pembinaan tempatan ke tahap lebih tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Datuk Seri Mohd Zaid Zakaria berkata terdapat 12 teknologi baharu yang disokong agensi itu termasuk pemodelan maklumat bangunan dan dron untuk pelaksanaan projek.
“Ini antara perkara yang CIDB galakkan supaya pemain-pemain industri mengamalkannya dan ia tidak hanya terpakai kepada kontraktor besar tetapi juga kepada usahawan kecil dalam kelas G1, G2, G3 dan G4.
“Kami menggalakkan mereka untuk menggunakan lebih banyak pendigitalan sebagai langkah permulaan. Terdapat banyak aplikasi yang boleh digunakan untuk mempercepat atau melaksanakan projek mereka dengan lebih cekap,” katanya dalam sidang media sempena Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia 2024 (MCIEA 2024) di sini hari ini.
Beliau berkata walaupun banyak syarikat pembinaan terjejas semasa pandemik COVID-19, ia juga memberi mereka peluang besar untuk berinovasi dan mengukuhkan operasi mereka.
“Sejak itu, industri pembinaan telah menunjukkan kemajuan yang pesat, terutamanya dipimpin oleh sektor swasta dan bagi kerajaan, anda boleh lihat banyak projek terutamanya infrastruktur diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2025.
“Ini akan memberi input yang signifikan kepada sektor swasta untuk melancarkan lebih banyak projek sekali gus menjadikan industri pembinaan semakin besar dan penting pada 2025,” katanya.
Mengenai anugerah MCIEA, Mohd Zaid berkata penganjurannya untuk menghargai seluruh ekosistem industri pembinaan, mengiktiraf sumbangan di semua peringkat, daripada usahawan individu yang bercita-cita tinggi hingga syarikat besar yang telah mentakrifkan kecemerlangan dalam pembinaan.
Beliau berkata proses ini merangkumi daripada pelaksanaan projek-projek pecah tanah sehingga yang menunjukkan standard tinggi, keselamatan dan tanggungjawab kepada alam sekitar.
Tahun ini, MCIEA memberi anugerah dalam lima kategori berprestij: Anugerah Tokoh Terkemuka, Anugerah Jurubina Terbaik (Kontraktor G7), Anugerah Pencapaian Antarabangsa, Anugerah Projek Terbaik dan Anugerah Kontraktor Terbaik.
Pengerusi Lim Seong Hai Capital Berhad Tan Sri Lim Keng Cheng diberi penghormatan tertinggi sebagai penerima Anugerah Tokoh Terkemuka atas kepimpinan perintisnya yang membentuk persekitaran pembinaan Malaysia melalui gabungan unik ketahanan, inovasi dan tanggungjawab sosial.
IAQ Solutions Sdn Bhd meraih Anugerah Jurubina Terbaik Tahun Ini untuk projek Kilang Pengujian Pengeluaran Robert Bosch manakala WCT Berhad menerima Anugerah Pencapaian Antarabangsa untuk penyiapan cemerlang Projek Pembangunan Lusail di Doha, Qatar.
Tiga projek terkenal turut menerima anugerah MCIEA, iaitu projek Menara Affin di Jalan Tun Razak, di sini, dan Pejabat Kerajaan Parcel F, Presint 1 di Putrajaya, yang masing-masing menerima “Anugerah Projek Terbaik - Bangunan (Kategori Utama) 1 & 2” manakala projek Transit Aliran Massa (MRT) Lembah Klang: Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya/Laluan 2 menerima “Anugerah Projek Terbaik - Infrastruktur (Kategori Utama)”.
Dalam ucapan beliau, Lim mengaitkan kejayaan Anugerah Tokoh Terkemuka kepada mendiang bapanya, dengan menyatakan bahawa segala kesukaran yang dihadapinya pada usia muda membantu membentuk watak dan kejayaannya.
“Anugerah ini sangat bermakna bagi saya kerana ia membolehkan saya akhirnya membuktikan kepada ibu dan mendiang bapa bahawa segala usaha saya adalah berbaloi,” katanya.
“Kepada generasi muda yang terlibat dalam industri pembinaan, nasihat saya ialah masa adalah penting; anda mesti membuat keputusan untuk memastikan projek disiapkan tepat pada masanya dan mengikut pelan, demi kebaikan pekerja anda,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IAQ Solutions Sdn Bhd Tiew Soon Aik berkata pencapaian syarikat mereka sebagai “Jurubina Terbaik Tahun Ini” mencerminkan komitmen untuk mempamerkan keupayaan jurutera Malaysia di peringkat global, menekankan kemahiran dan pengetahuan dalam industri berteknologi tinggi.
Beliau berkata IAQ, yang diasaskan pada 1990, telah menyokong syarikat multinasional dalam industri semikonduktor termasuk Intel serta Motorola, dan kini memberi tumpuan kepada projek di Singapura dan Eropah, selain Malaysia, seperti keperluan pengeluaran bateri untuk kenderaan elektrik.
“Kami mahu menunjukkan kepada negara-negara Barat bahawa rakyat Malaysia boleh melakukan sesuatu perkara dengan lebih baik berbanding banyak syarikat Eropah. Jadi, itulah sebabnya hari ini, saya percaya kita boleh berbangga kerana mempunyai rakyat Malaysia yang dikenali di seluruh dunia. Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada CIDB atas pengiktirafan terhadap hasil kerja kami,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial