BELANJAWAN 2025 > BERITA

LBS Lancar Bandar Rimbawan, Pangsapuri Servis Bayu Hills Di Genting Highland

19/11/2024 10:13 AM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- LBS Bina Group Berhad (LBS) melancarkan Bandar Rimbawan, sebuah pembangunan bersifat mesra hijau yang terletak di Genting Highlands, Pahang dengan keluasan 127.5 hektar dan dijangka menjana nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM9.5 bilion.

Pada ketinggian 821 meter dari paras laut, LBS berkata pembangunan Bandar Rimbawan dirancang teliti untuk mengintegrasikan masyarakat dengan ekosistem setempat, dengan sungai dan air terjun menjadi tulang belakang utama bandar ini.

“Rimbawan direka dan dibangunkan dengan mengambil kira unsur-unsur semula jadi ini. Bagi memastikan biodiversiti ekosistem setempat terjaga, koridor hijau dibina merentasi seluruh bandar yang turut menjadi laluan semula jadi bagi spesies flora dan fauna di kawasan hijau yang dipelihara.

“Projek ini melambangkan komitmen teguh LBS terhadap mengimbangi kemajuan dan pemuliharaan, dengan melaksanakan penanaman semula hutan yang berkesan melalui kaedah ‘Miyawaki’ untuk memperkukuh biodiversiti dan menggalakkan pertumbuhan semula jadi,” menurut LBS dalam satu kenyataan.

Selain itu, menurut LBS solusi ini turut menggabungkan ciri-ciri bandar span yang membolehkan penanaman pokok tempatan berkepadatan tinggi untuk menggalakkan pertumbuhan sistem akar yang kukuh, di samping memperbaiki struktur tanah dan meningkatkan kapasiti penyerapan hujan dengan signifikan.

Dilengkapi dengan rangkaian laluan serapan tinggi yang direka untuk memudahkan penyerapan hujan, menurut LBS ciri-ciri ini berfungsi secara sinergi untuk menjadikan Bandar Rimbawan sebuah bandar span  yang berupaya mengurangkan risiko banjir secara berkesan.

“Untuk memastikan Rimbawan mengintegrasikan penduduknya dengan alam semula jadi, pembangunan ini dibahagikan secara strategik kepada empat zon yang berbeza iaitu ‘EcoCommunity’, ‘EcoCommercial’, ‘EcoDiscovery’ dan ‘EcoPlay’,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS Tan Sri Lim Hock San dalam kenyataan sama berkata pihaknya percaya bahawa kemajuan sebenar tidak hanya terhad kepada memenuhi keperluan hari ini tetapi juga melibatkan keputusan yang memastikan kesejahteraan masa depan.

“Dengan cabaran alam sekitar global, adalah penting untuk kita memikirkan semula kesemua aspek termasuk pembinaan, gaya hidup serta cara berinteraksi dengan alam semula jadi,” katanya.

Terletak di lokasi yang strategik berhampiran dengan kemudahan dan tarikan utama, Bandar Rimbawan menawarkan penduduknya gaya hidup yang dinamik dalam suasana penuh ketenangan.

Pembangunan unik oleh LBS ini menetapkan penanda aras baharu untuk kehidupan di kawasan tinggi dan menggabungkan keindahan landskap semula jadi dengan suntikan elemen moden yang canggih sekali gus mempromosikan gaya hidup lestari dan seimbang untuk penduduknya.

Seiring pelancaran Bandar Rimbawan, menurut kenyataan itu LBS turut memperkenalkan projek kediaman bertingkat pertamanya, pangsapuri servis Bayu Hills yang merupakan sebahagian daripada perbandaran yang menitikberatkan alam sekitar ini.

Dengan 642 unit kediaman pada harga permulaan serendah RM501,900, menurut LBS Bayu Hills yang menawarkan saiz unit daripada 46.5 hingga 99.1 meter persegi dijangka menghasilkan GDV sebanyak RM453 juta.

LBS memaklumkan pembangunan berkapasiti rendah ini menawarkan pelbagai susun atur yang direka dengan teliti, sesuai untuk pemilik rumah yang mencari gabungan harmoni antara kehidupan moden dan ketenangan alam.

“Sebagai pemaju, kami bukan hanya sekadar membina bangunan, tetapi turut mengggalas tanggungjawab untuk membentuk masyarakat dan persekitaran yang akan menjadi rumah bagi generasi akan datang.

“Komitmen LBS yang baru-baru ini diiktiraf sebagai Syarikat Pengurus Terbaik oleh Deloitte untuk tahun ketiga berturut-turut, berkait rapat tumpuan kami terhadap prinsip persekitaran, sosial dan urus tadbir (ESG).

“Projek ini mencerminkan dedikasi LBS terhadap pembangunan lestari, menunjukkan bagaimana kami mengintegrasikan pemuliharaan alam, kesejahteraan komuniti dan urus tadbir yang beretika dalam setiap aspek operasi kami,” kata Lim.

Untuk maklumat lanjut mengenai Bandar Rimbawan dan projek Bayu Hills, sila layari https://lbsrimbawan.com.my/.

-- BERNAMA

(Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel ini.)

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan