KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang berbincang dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan pelbagai universiti untuk melanjutkan tempoh latihan amali bagi mahasiswa.
Menteri berkenaan Steven Sim Chee Keong berkata ia merupakan kaedah atau strategi yang penting untuk memperkasakan kemahiran mahasiswa, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam bidang pekerjaan.
"Contohnya yang menjadi peguam chambering mungkin sembilan bulan dan ketika chambering itulah mereka belajar on the job, on the go and by practice secara latihan amali dan bukan secara teori, manakala doktor mungkin buat housemanship selama setahun atau dua tahun.
“Jadi semua ini akan memperkasakan lagi kemahiran yang ada pada mahasiswa kita. Mengikut data yang kita ada, kira-kira 40 peratus pelatih amali atau intern akhirnya berjaya mendapat kerja di syarikat yang sama di tempat mereka melaksanakan latihan amali,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai kerjasama KESUMA dan KPT dalam melahirkan graduan lebih berkualiti.
Sim berkata satu lagi kerjasama KESUMA dan KPT adalah menerusi program Insentif Latihan Amali (ILHAM KESUMA) yang menawarkan latihan amali secara berstruktur dengan sasaran peluang latihan amali antara 20,000 hingga 30,000 kepada mahasiswa.
“Di bawah program ini, KESUMA berkerjasama dengan universiti yang ada. Kita menawarkan program amali berstruktur dan pelatih tidak pergi kerja untuk angkat beg dan bancuh kopi, tetapi mereka mempelajari kemahiran tertentu serta berbayar dan bukan bekerja secara percuma,” katanya.
Selain itu, beliau berkata kerjasama 12 kementerian menerusi Majlis TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) Negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga antara inisiatif utama dalam memperkasakan lagi mahasiswa dan graduan TVET.
“Kita melihat jurusan TVET ini sebagai salah satu strategi untuk memperkasakan atau meningkatkan kebolehpasaran siswazah kita. Untuk siswazah dan graduan TVET, kebolehpasaran mereka mencecah lebih 90 peratus, malah ada tiga buah ILP (Institut Latihan Perindustrian) di bawah KESUMA, kebolehpasaran siswazah kita telah mencecah 100 peratus,” katanya.
Sementara itu, Sim berkata berdasarkan laporan Survei Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), guna tenaga tidak penuh (underemployment) berkaitan kemahiran menurun sehingga 36.8 peratus pada suku ketiga tahun ini berbanding 37.3 peratus pada suku tahun ketiga 2023.
Beliau berkata jumlah itu sekali gus membuktikan kenyataan Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) bahawa guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran sebanyak 1.95 juta orang, meningkat sebanyak 100,000 orang berbanding 1.94 juta orang pada suku tahun sebelumnya adalah kurang tepat.
“Peningkatan data guna tenaga tidak penuh sebenarnya hanyalah 10,000 orang pada suku tahun ketiga 2024 berbanding suku tahun sebelumnya. Kerajaan sentiasa cakna dan proaktif untuk menangani masalah guna tenaga tidak penuh terutamanya kepada pekerja tempatan,” katanya.
Sim menjawab soalan asal Afnan Hamimi yang ingin tahu usaha dan pelan inisiatif kerajaan dalam menangani seramai 1.95 juta pekerja berpendidikan tinggi di Malaysia yang bekerja dalam pekerjaan berkemahiran rendah dengan peningkatan kira-kira 100,000 pekerja berbanding suku sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial