BELANJAWAN 2025 > BERITA

LKIM Sedia RM200,000 Peruntukan Bantu Nelayan Terjejas Banjir

19/11/2024 01:48 PM

KUALA TERENGGANU, 19 Nov (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyediakan peruntukan sebanyak RM200,000 dalam bentuk bakul makanan untuk membantu nelayan terjejas banjir.

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata peruntukan itu boleh memanfaatkan kira-kira 2,000 nelayan Zon A di tiga negeri termasuk Terengganu, Kelantan dan Pahang pada musim Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.

"Kedatangan MTL sudah pasti akan menjejaskan sumber pencarian nelayan kecil kerana mereka tak dapat turun ke laut akibat cuaca buruk serta laut bergelora.

"Selain elaun sara hidup yang disalurkan setiap bulan, LKIM juga menyediakan peruntukan khas yang akan disalurkan dengan segera kepada nelayan terkesan banjir atau bencana lain dalam tempoh MTL,” katanya selepas Program Rahmah Mesra MADANI Bersama Nelayan Marang di LKIM Marang di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan peralatan menangkap ikan berjumlah RM50,000 kepada 31 nelayan di kawasan Marang.          

Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata LKIM dengan kerjasama beberapa syarikat swasta  telah menyediakan sebanyak 1,600 tan matrik stok ikan sejuk beku simpanan di Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) untuk bekalan sepanjang MTL bermula November hingga Mac tahun depan.

Beliau berkata stok simpanan itu dijangka mencukupi untuk menampung kegunaan orang ramai sepanjang musim MTL.

"Selain itu ada juga stok yang disimpan oleh syarikat swasta lain yang bergerak sendirian. Mereka juga menyimpan bekalan dan mengimport ikan dari luar.

"Oleh itu tidak timbul isu kenaikan harga ikan pada musim tengkujuh. Setakat pemantauan pihak LKIM, harga ikan masih stabil dan peniaga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati pada musim tengkujuh," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan