BELANJAWAN 2025 > BERITA

Fasa 1B Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Dijangka Siap September 2028

19/11/2024 02:35 PM

KOTA KINABALU, 19 Nov (Bernama) -- Fasa 1B Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dijangka siap pada September 2028 dalam usaha menyediakan infrastuktur jalan raya lebih baik untuk rakyat negeri ini, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.

Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya berkata Fasa 1 projek berkenaan terbahagi kepada Fasa 1A yang dijangka siap Oktober 2026 dan Fasa 1B, dengan keseluruhan Fasa 1 itu melibatkan 35 pakej  bagi pembinaan jalan raya sepanjang 706 kilometer (km).

Menteri Kerja Raya negeri itu berkata menerusi Fasa 1 sebanyak empat pakej kerja telah disiapkan, 28 pakej kerja sedang dalam pembinaan, dua pakej kerja dalam peringkat memuktamad perolehan manakala satu pakej kerja dalam peringkat pengeluaran surat setuju terima.

“Fasa 2 melibatkan jajaran Tamparuli-Ranau dengan anggaran jarak sekitar 98 km dan Fasa 3 jajaran Kimanis-Keningau-Kalabakan-Tawau dengan jarak sekitar 432 km masih di peringkat perancangan.

“Pelaksanaannya bergantung kepada kelulusan dan keupayaan kewangan kerajaan,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) berkaitan perkembangan terbaharu dan status terkini pembinaan lebuh raya itu.

Menjawab soalan tambahan Yong mengenai langkah pengambilan tanah projek terbabit, Shahelmey berkata kos keseluruhan pengambilan tanah bagi Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Fasa 1 melibatkan RM2.53 bilion, iaitu RM1.32 bilion melibatkan Fasa 1A dan RM1.21 bilion bagi Fasa 1B.

Beliau berkata pembayaran pampasan tanah kepada pemilik tanah diselesaikan melalui tatacara yang ditetapkan Jabatan Tanah dan Ukur termasuk pewartaan, penilaian, pemberian tawaran, penerimaan tawaran daripada pemilik tanah dan seterusnya proses pembayaran.

“Berdasarkan daripada pengalaman dalam pelaksanaan pakej kerja Fasa 1A, apabila Surat Setuju Terima baru-baru ini dikeluarkan kepada pakej kerja Fasa 1B, Kementerian Kerja Raya negeri, Jabatan Kerja Raya Sabah dan Kementerian Kerja Raya membentuk satu Jawatankuasa Pemandu untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo,” katanya.

Satu daripada cabaran besar dalam projek Lebuhraya Pan Borneo, katanya adalah pengambilan tanah terutamanya di bawah hak milik adat.

Shahelmey berkata tanah dimiliki oleh indvidu atau komuniti berdasarkan hak adat (NCR) memerlukan proses yang lebih panjang kerana ia memerlukan kelulusan daripada pemilik tanah serta persetujuan secara perundangan.

“Selain daripada itu, kekurangan sumber manusia atau tenaga kerja di pihak Jabatan Tanah dan Ukur Sabah dari sudut membuat penilaian juga menyumbang kepada kelewatan proses penilaian dan pengambilan tanah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan