BELANJAWAN 2025 > BERITA

Dua Tahun MADANI, Pelbagai Reformasi Bermanfaat Telah Dilaksana - Nanta

19/11/2024 03:30 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Dalam tempoh hanya dua tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, pelbagai projek pembangunan yang memberikan limpahan manfaat kepada negara dan ekonomi telah dilaksanakan Kementerian Kerja Raya (KKR).

Menteri berkenaan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata selain fokus kepada projek mega, pelbagai projek yang berpaksikan rakyat turut tidak terlepas daripada perhatian dan menjadi keutamaan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Selain daripada memberikan fokus kepada projek mega yang memberi limpahan manfaat kepada ekonomi rakyat dan negara, kejayaan-kejayaan lain yang berpaksikan rakyat itu juga penting termasuklah pelaksanaan Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT).

“Selain itu KKR juga menyediakan (tambahan) tempat teduhan motosikal demi keselamatan penunggang motosikal. Sebelum ini hanya terdapat 353 tempat teduhan motosikal sedia ada dan pada 2023 dan 2024 terdapat sebanyak 119 tambahan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama Radio.

Selain pembangunan menerusi KKR, Nanta berkata dalam tempoh dua tahun ini pelbagai reformasi telah dilaksanakan Perdana Menteri yang tidak boleh disangkal manfaatnya.

“Beberapa langkah reformasi saya lihat telah mula dilaksanakan. Pertama ialah penyelarasan semula subsidi diesel. Itu penting kerana dengan usaha ini dapat menjimatkan beberapa bilion dalam setahun yang boleh kita salur balik kepada rakyat untuk membantu rakyat.

“Sumbangan Tunai Rahmah telah meningkat kepada RM10 bilion tahun ini berbanding RM8 bilion pada tahun 2023. Ia memanfaatkan sembilan juta penerima ataupun 60 peratus penduduk dewasa Malaysia,” katanya.

Menurutnya pentadbiran Perdana Menteri juga sangat objektif dalam pelaksanaan dasar dan polisi bagi memastikan Malaysia membangun dengan makmur.

“Saya melihat Perdana Menteri sangat objektif dalam dasar, polisi dan hendak kita membangun sebagai negara Malaysia dan makmur bersama. Jadi inilah Kerajaan MADANI dan saya percaya dalam masa dua tahun ini banyak kita sudah capai dan jika diberi masa lagi saya ingat kita akan dapat menambahkan apa yang kita dah capai sekarang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan