BELANJAWAN 2025 > BERITA

Sarawak Perlu 1,000 Doktor Haiwan Menjelang 2030 - Dr Rundi 

19/11/2024 04:35 PM

KUCHING, 19 Nov (Bernama) -- Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya 1,000 doktor haiwan bertauliah termasuk saintis haiwan dan pakar perubatan veterinar menjelang 2030.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata pada masa ini terdapat sebanyak 96 doktor haiwan yang bekerja di sektor awam dan swasta di negeri ini.

Beliau berkata bagi menangani kekurangan kritikal doktor haiwan di Sarawak, penubuhan sebuah pusat pengajian perubatan veterinar di Semenggok telah dicadangkan.

Dr Rundi berkata kementeriannya bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) dalam merealisasikan penubuhan pusat berkenaan.  

“Beberapa pertemuan antara kementerian saya dan MEITD bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) telah diadakan untuk membincangkan dan memuktamadkan model pengurusan bagi cadangan pusat pengajian perubatan veterinar,” katanya.

“Dengan penubuhan pusat pengajian ini, ia akan memperkukuh perkhidmatan veterinar di Sarawak bagi membasmi penyakit zoonosis dan mempercepat pembangunan industri ternakan bernilai RM3 bilion di Sarawak,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Rundi berkata kementeriannya dalam peringkat akhir menyiapkan cadangan penubuhan Jabatan Perikanan Sarawak, yang dijangka dibentangkan kepada Kabinet Sarawak menjelang suku pertama 2025.

Beliau berkata jabatan berkenaan akan menerajui kemajuan pembangunan perikanan di Sarawak di samping mengutamakan pemuliharaan sumber perikanan bagi memastikan kelestariannya untuk generasi akan datang.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan