BELANJAWAN 2025 > BERITA

Orang Asli Tiada Geran Tanah Mahu Jual Kelapa Sawit Perlu Rujuk Kerajaan Negeri

19/11/2024 05:40 PM

KUALA KANGSAR, 19 Nov (Bernama) -- Masyarakat Orang Asli yang mahu menjual buah kelapa sawit tetapi tidak memiliki geran tanah dan lesen perlu merujuk kepada kerajaan negeri masing-masing, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata syarat pemilikan geran tanah dan lesen kepada penjual buah kelapa sawit terpakai kepada semua pemain industri kelapa sawit dalam negara.

“Kalau ada kes macam itu (Orang Asli), kita pergi sahaja ke kerajaan negeri, minta pengesahan daripada kerajaan negeri dan kita pertimbangkan (tanah itu) sebagai hak milik (title) mereka,” katanya selepas selepas merasmikan ‘Kilang Minyak Sawit Pintar Pertama Di Dunia Berasaskan AI’ hasil kerjasama Minsawi Industries (Kuala Kangsar) Sdn Bhd dan AIREI Sdn Bhd di sini hari ini.

Beliau menjelaskan penebangan hutan tanpa kebenaran bagi penanaman kepala sawit tidak melayakkan Orang Asli untuk memperoleh pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MPSO) justeru menyebabkan kumpulan itu tidak dapat menjual hasil mereka. 

Semalam, media melaporkan Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga bekas Perdana Menteri pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat meminta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melonggarkan syarat penjualan buah kelapa sawit tanpa perlu mewajibkan geran tanah dan lesen kerana ia membebankan pekebun kecil khususnya masyarakat Orang Asli.

Sementara itu, Johari berkata syarat mewajibkan geran tanah dan lesen bagi penjualan buah kelapa sawit diwujudkan bagi memenuhi standard Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

Menurutnya Malaysia menghasilkan 18.6 juta tan kelapa sawit setahun dan mengeksport 14 hingga 13 juta tan daripada jumlah itu ke negara seperti China, India dan negara Eropah.

Bagi memenuhi syarat pensijilan Eropah katanya mana-mana tanah yang ditanam kelapa sawit wajib mempunyai hak milik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan