BELANJAWAN 2025 > BERITA

Tabung Wakaf MARA MADANI Kumpul RM21.1 Juta Setakat 13 Nov

19/11/2024 06:14 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Status terkini Tabung Wakaf Majlis Amanah Rakyat (MARA) MADANI menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah dana terkumpul sebanyak RM21.1 juta setakat 13 Nov lepas.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata pengagihan dana wakaf itu dijangka akan dilaksanakan tahun depan dengan skop agihan dan manfaat melibatkan enam kategori iaitu pendidikan, keusahawanan, kebajikan, kesihatan, pengangkutan dan aset wakaf.

“Pada 2025, inisiatif Wakaf MARA MADANI ini dijangka akan memberi manfaat kepada 100 orang bagi kategori pendidikan, keusahawanan, kebajikan dan kesihatan.

“Dengan sokongan ini, Wakaf MARA MADANI diharap dapat memberi manfaat lebih besar kepada komuniti Bumiputera melalui pendidikan berkualiti dan peluang ekonomi,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2024 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Rakyat hari ini. 

Rubiah berkata tarikh kelulusan MARA sebagai mutawalli iaitu pentadbir bagi Tabung Wakaf MARA MADANI oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) adalah pada 21 Ogos lepas.

Pada Mac lepas, kerajaan bersetuju untuk mewujudkan Tabung Wakaf MARA MADANI dengan sasaran dana berjumlah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun bagi memperkasakan agenda Bumiputera.

Sementara itu, Rubiah berkata sebanyak tujuh pembida berminat untuk membeli bangunan projek komersial pembangunan bercampur di FELCRA, Semarak 20.

Beliau berkata dua syarikat sudah memberi jumlah bidaan setakat ini, namun kesemuanya masih dalam proses dan penilaian jawatankuasa dalaman syarikat. 

“Kerajaan membuat keputusan menjual sepenuhnya aset berkenaan bagi memastikan pengurusan pentadbiran dan pembangunan keseluruhan FELCRA dapat diatur,” katanya. 

Sebelum ini Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengarahkan KKDW dan FELCRA melaporkan kepada PAC setiap tiga bulan berhubung status pembayaran hutang bagi projek Semarak 20.

Ini menjadi antara lima syor dikemukakan kepada kerajaan untuk memantau isu hutang ditanggung FELCRA Berhad serta anak syarikatnya.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM11,959,856,200 yang diperuntukkan kepada KKDW dalam Belanjawan 2025 dengan lebih suara menyokong selepas dibahas 25 Ahli Parlimen.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan