BELANJAWAN 2025 > BERITA

Ketua Parti Vietnam To Lam Akan Melawat Malaysia Dari 21 Hingga 23 November

20/11/2024 09:21 AM

PUTRAJAYA, 20 Nov (Bernama) -- Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam, akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 21 hingga 23 Nov bagi memperkukuhkan hubungan kerjasama strategik antara kedua-dua negara.  

Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak dilantik sebagai Ketua Parti Komunis Vietnam pada Ogos 2024.  

Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan bahawa To Lam akan diiringi oleh isteri beliau, Ngo Phuong Ly, ahli kanan Biro Politik Jawatankuasa Pusat, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Bui Thanh Son, menteri-menteri, dan pegawai kanan kerajaan serta Perhimpunan Kebangsaan Vietnam.  

Setiausaha Agung itu akan disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis sambutan rasmi, diikuti dengan mesyuarat dua hala.  

“Perbincangan mereka akan menumpukan kepada perkembangan terkini hubungan dua hala, khususnya dalam kerjasama perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi, industri halal, tenaga, teknologi digital, serta maklumat dan komunikasi,” menurut kenyataan itu.  

Kedua-dua pemimpin juga dijadual menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Pemerkasaan Promosi Perdagangan antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Agensi Promosi Perdagangan Vietnam (VIETRADE); serta Memorandum Kerjasama antara PETRONAS dan PETROVIETNAM dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.  

Sepanjang lawatan itu, To Lam juga dijadualkan bertemu Presiden Dewan Negara Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul di Parlimen Malaysia.  

Kali terakhir Malaysia menerima lawatan daripada Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam adalah pada Mac 1994, setahun sebelum penyertaan rasmi Vietnam dalam ASEAN.  

Lawatan rasmi ini dijangka memperkukuhkan lagi hubungan erat antara Malaysia dan Vietnam, sama ada secara dua hala di bawah kerangka Kerjasama Strategik atau dalam platform ASEAN, menurut kenyataan itu.  

Pada tahun 2023, Vietnam merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia di peringkat global dan rakan dagang ke-4 terbesar dalam kalangan ASEAN.  

Nilai dagangan dua hala antara Malaysia dan Vietnam mencecah RM80 bilion, dengan eksport Malaysia ke Vietnam bernilai RM52 bilion. Syarikat-syarikat Malaysia telah melaksanakan lebih daripada 700 projek di Vietnam dengan jumlah pelaburan sebanyak AS$13.1 bilion.  

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan