BELANJAWAN 2025 > BERITA

SFC, SAINS Bangun Aplikasi Crocwatch Atasi Konflik Manusia-Buaya

20/11/2024 08:06 PM

KUCHING, 20 Nov (Bernama) -- Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dengan kerjasama Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS), syarikat penyedia perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) milik kerajaan negeri telah membangunkan aplikasi “Sarawak CrocWatch” dalam pengurusan konflik antara manusia dan buaya.

Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata aplikasi yang dilancarkan pada September lepas membolehkan orang awam melaporkan kehadiran buaya.

Timbalan Premier Sarawak itu berkata SFC juga sedang menyediakan pelan pengurusan buaya lebih komprehensif menerusi kerjasama strategik dengan memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Wildlife Management International Pty Ltd (WMI) di Darwin, Australia.

“WMI akan membantu dalam penggubalan pelan pengurusan buaya dan memberi latihan kepada pegawai SFC bagi meningkatkan pengurusan buaya di Sarawak. 

“Penyediaan pelan ini akan mengambil masa selama satu tahun. Laporan awal akan dikemukakan pada bulan hadapan bagi memberi gambaran tentang langkah-langkah yang perlu diambil,” katanya pada penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Awang Tengah berkata setakat ini, terdapat kira-kira 25,000 buaya di 22 lembangan sungai di Sarawak dan sebanyak 55 lesen memburu telah dikeluarkan dengan 234 papan tanda amaran telah dipasang di kawasan berisiko tinggi di seluruh negeri. 

“Dalam tempoh Januari hingga Oktober lepas, sebanyak 40 operasi pemantauan telah dilaksanakan oleh SFC dan hasilnya 35 ekor buaya berjaya dipindahkan dari kawasan berhampiran penduduk ke tempat yang sesuai,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan