BELANJAWAN 2025 > BERITA

Selangor Pertimbang Naikkan Gaji Pegawai Di PKM - Amirudin

20/11/2024 02:41 PM

SHAH ALAM, 20 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri sedang mempertimbangkan cadangan untuk meningkatkan gaji kakitangan di pusat khidmat masyarakat (PKM) di seluruh Selangor, selaras dengan pengumuman pelarasan gaji yang diumumkan Kerajaan Persekutuan. 

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata antara faktor yang diambil kira bagi cadangan berkenaan ialah pertambahan beban tugas kepada pegawai di pusat berkenaan susulan pengumuman inisiatif baharu oleh pentadbirannya. 

Beliau berkata faktor lain yang diberi perhatian dalam membuat pelarasan gaji pegawai PKM, termasuk kepada pembangkang itu adalah berkenaan peningkatan kos sewaan premis berkenaan ketika ini.

"Perkara ini sedang kita pertimbangkan dan akan dikongsikan dengan semua Ahli Dewan Undangan Negeri pada akhir tahun ini," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Lwi Kian Keong (PH-Sungai Pelek) yang ingin tahu adakah kerajaan negeri berhasrat menaikkan elaun atau gaji bagi pegawai yang berkhidmat di PKM pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.

Amirudin turut memaklumkan isu penambahan kakitangan di PKM yang ketika ini dibebani dengan pelbagai program mingguan dan bulanan dijangka dapat diselesaikan selewat-lewatnya Jun tahun hadapan.

Beliau berkata buat masa ini, kerajaan negeri masih mengekalkan kuota empat pegawai, namun sedia mempertimbangkan penambahan kakitangan mengambil kira beban tugas yang terpaksa ditanggung mereka berdasarkan program-program sedia ada termasuk inisiatif baharu yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2025.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan