BELANJAWAN 2025 > BERITA

AKM Anjur Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI Pada 26 Nov

20/11/2024 04:28 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) akan menganjurkan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI pada 26 Nov ini sebagai sebahagian daripada agenda menyambut dua tahun kepimpinan kerajaan MADANI.

Timbalan Ketua Pengarah (Latihan) Akademi Kenegaraan Malaysia, Pejabat Perdana Menteri Datuk Ismail Yusop berkata seminar bertemakan ‘Taat Setia’ itu akan diadakan di Dewan Damar Sari Blok F8, Presint 1, Putrajaya dengan acara kemuncaknya ialah ucaptama daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

“Melalui seminar ini, penjawat awam akan bersama-sama medengar ucapan KSN kerana dalam konteks pelaksanaan MADANI ini, pelaksananya ialah penjawat awam dan sudah tentu, komitmen mereka terhadap pelaksanaannya sangat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan program Ruang Bicara bagi membincangkan tajuk “MADANI: Antara Politik dan Tamadun” terbitan Bernama TV malam tadi.

Ismail berkata program sambutan dua tahun kerajaan MADANI adalah satu agenda besar kerana semua kementerian dan agensi akan mempamerkan testimoni dan pencapaian masing-masing untuk dikongsikan kepada rakyat.

Beliau berkata konsep MADANI bukan satu slogan seperti yang diperkatakan umum, sebaliknya merupakan kerangka untuk kerajaan membuat perubahan dan penambahbaikan setelah mengambil kira pelbagai cabaran yang tidak menentu termasuk dalam soal perubahan iklim, ekonomi dan geopolitik dunia.

“Kita tidak boleh meramalkan masa hadapan tetapi kita boleh menentukan masa hadapan yang kita hendak melalui pelaksanaan konsep MADANI kerana ia merupakan tunjang untuk proses pemberdayaan rakyat, dan menerusinya kerajaan akan dapat menguruskan isu kepelbagaian seperti kesenjangan ekonomi antara kaum untuk memberikan keadilan sosial kepada semua,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Seksyen Pengurusan Moden dan Teknologi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Saliza Saari berkata pelbagai program telah disediakan sempena Program Dua Tahun Kerajaan MADANI dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Ia termasuk pameran perkhidmatan daripada kementerian-kementerian, reruai usahawan, Jualan MADANI, tawaran diskaun 60 peratus bayaran saman trafik oleh Polis Diraja Malaysia, karnival kerjaya serta diskaun tiket kemasukan ke Muzium Negara.

Selain itu, satu pekeliling Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) yang bertujuan memperkenalkan langkah baharu dalam mempercepat pelaksanaan reformasi dalam perkhidmatan awam turut akan dilancarkan pada program berkenaan.

Program selama tiga hari bermula Jumaat ini dijadual dihadiri seluruh jentera pentadbiran negara termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri selain ketua-ketua jabatan dan agensi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan